Selasa, 16 Jun 2020 | 11:55am
Orang awam menunggu untuk mendapatkan rawatan di lapangan kecemasan Hospital Alberto Sabogal di Lima. - Foto Ernesto BENAVIDES / AFP
Orang awam menunggu untuk mendapatkan rawatan di lapangan kecemasan Hospital Alberto Sabogal di Lima. - Foto Ernesto BENAVIDES / AFP

COVID-19: Ekonomi Peru susut lebih 40 peratus

LIMA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Peru merosot lebih daripada 40 peratus disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Peru ketika ini berada di kedudukan kelapan jangkitan COVID-19 tertinggi di dunia.

Pengeluaran sektor perlombongan negara itu mencatatkan penurunan mendadak, lebih daripada 42.29 peratus pada April.

Peru adalah pengeluar terbesar dunia bagi tembaga, emas dan perak.

Keseluruhan aktiviti ekonominya jatuh 40.49 peratus, kata institusi statistik nasional.

Kejatuhan pada April itu mencerminkan penurunan prestasi kebanyakan sektor produktif, dengan impak terhadap perdagangan, pengeluaran, pembinaan, perlombongan, hidrokarbon, pengangkutan, hotel dan perkhidmatan perniagaan.

Ekonomi Peru, salah satu yang terkuat di Amerika Latin dalam tempoh sedekad yang lalu, telah menguncup lebih dari 16 peratus pada Mac.

Sebelum Mac 2020, negara itu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh selama 127 bulan berturut-turut.

Peru adalah negara kedua mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di Amerika Latin selepas Brazil, dengan hampir 230,000 kes dan 7,000 kematian walaupun sudah melaksanakan perintah kawalan sejak 16 Mac lalu.

Presiden Peru, Martin Vizcarra sudah melancarkan beberapa pelan pemulihan ekonomi termasuk pakej bantuan kepada lebih 6.5 juta isi rumah.

Vizcarra kemudiannya dipaksa untuk memanjangkan tempoh kuarantin hingga 30 Jun, menjadikan Peru sebagai antara negara yang melaksanakan tempoh kawalan paling lama di dunia. AFP

Berita Harian X