Rabu, 3 Jun 2020 | 1:28pm
Permintaan terhadap sarung tangan getah luar biasa susulan penularan COVID-19 - Foto Bloomberg
Permintaan terhadap sarung tangan getah luar biasa susulan penularan COVID-19 - Foto Bloomberg

Permintaan sarung tangan getah akan terus meningkat

KUALA LUMPUR: Permintaan untuk sarung tangan getah akan terus meningkat untuk sekurang-kurangnya setahun lagi, di sebalik kebimbangan berterusan ke atas pandemik COVID-19 serta pembukaan lebih banyak perniagaan.

Kenanga Research dalam satu nota berkata, purata harga jualan industri (ASP) bagi sektor sarung tangan terus melonjak dari bulan ke bulan dalam jangkaan penawaran yang lebih ketat dan purata permintaan yang luar biasa disebabkan oleh pandemik.

Oleh itu, dengan asas pelanggan yang pelbagai, firma penyelidikan itu menjangkakan Supermax, yang juga pengeluar sarung tangan getah kedua terbesar di dunia kekal mempunyai kuasa harga yang lebih baik, berpotensi bagi peningkatan berbanding ASP industri dan ini menyebabkan firma itu mengekalkan saranan 'cemerlang' pada sahamnya.

Ia menambah, ASP industri dalam tempoh beberapa bulan akan datang akan terus berada pada tahap tertinggi iaitu antara lima hingga 15 peratus berbanding dengan kenaikan lima peratus sebulan sebelum ini, disokong oleh pendapatan daripada pembuatan serta pengedaran.

Berikutan pandemik, firma penyelidikan itu memberitahu Supermax banyak menerima pertanyaan daripada agensi kerajaan asing, pertubuhan bukan kerajaan, peruncit dan rangkaian restoran.

"Berdasarkan kepada persaingan dalam permintaan, pembeli sanggup membuat pembayaran deposit antara 30 peratus dan 50 peratus bagi menjamin bekalan sarung tangan dan penghantaran tepat pada masanya.

"Permintaan terus menokok sepanjang dua minggu lalu, menunjukkan bahawa masa penyiapan sekarang ini adalah selama 12 bulan berbanding 10 bulan sebelum ini, dan tempahan dalam tangannya sedang penuh sehingga Jun 2021, menghasilkan kadar penggunaan yang lebih tinggi melangkaui 95 peratus berbanding sebelum COVID-19 iaitu 80 hingga 85 peratus," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X