Khamis, 28 Mei 2020 | 11:58am
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)

Mesyuarat maya pegawai kanan APEC kemuka 5 cadangan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Maya (VESOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mempertimbangkan lima cadangan baharu yang boleh membawa kepada penyelesaian serantau jangka panjang untuk pemulihan ekonomi mampan.

Lima cadangan yang dibincangkan VESOM antaranya merangkumi platform pertukaran maklumat mengenai tindak balas dasar oleh ekonomi APEC semasa krisis COVID-19.

Selain itu, ia turut membincangkan mengenai dua cadangan berasingan mengenai langkah sesuai untuk memudahkan aliran barangan keperluan ketika krisis, mewujudkan sub-dana APEC bagi memerangi COVID-19 dan langkah ke arah pemulihan ekonomi.

VESOM juga membincangkan cadangan panduan dan langkah untuk APEC seperti jawatankuasa dan kumpulan bekerja untuk meneruskan pekerjaan dalam masa yang tidak menentu ini.

Sekretariat Nasional APEC 2020 dalam kenyataannya berkata, daripada lima cadangan itu, tiga dikemukakan oleh Malaysia.

Cadangan pertama, katanya adalah mewujudkan platform untuk pertukaran maklumat, iaitu 'APEC COVID-19 Latest and

Immediate Virtual Exchange' (APEC COVID-19 LIVE), bertujuan merangkumkan campur tangan dasar, tindakan, program dan inisiatif yang diambil oleh ekonomi APEC dalam menangani krisis COVID-19.

Kedua, Malaysia mencadangkan draf Deklarasi APEC mengenai Memudahkan Gerakan Barangan Penting. Draf Deklarasi ini mengusulkan agar semua ekonomi APEC menawarkan senarai barang yang ditentukan sendiri untuk konsesi tarif unilateral.

Sementara itu, cadangan ketiga, dalam kapasiti Malaysia sebagai Ketua APEC 2020, memberikan panduan ke hadapan untuk pekerjaan yang dilakukan di seluruh APEC.

"Sebagai tambahan kepada cadangan Malaysia, terdapat juga dua cadangan lain oleh ekonomi APEC. China mengemukakan cadangan untuk mewujudkan sub-dana kerjasama serantau yang bertujuan memerangi COVID-19 dan memudahkan pemulihan ekonomi.

"Singapura dan New Zealand bersama-sama mengemukakan inisiatif untuk memudahkan perdagangan barangan perubatan dalam APEC," katanya.

Malaysia berjaya mempengerusikan VESOM mengenai COVID-19 dengan mengumpulkan 21 ekonomi APEC dari lapan zon waktu yang berbeza, dalam satu platform maya.

Mesyuarat selama empat jam bermula 7 malam waktu Malaysia dan menyaksikan penyertaan semua Ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta pemerhati terpilih dari organisasi antarabangsa dan serantau.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X