Rabu, 20 Mei 2020 | 12:22pm
Mata wang Thailand, baht
Mata wang Thailand, baht

Pelancongan dijangka pulih, baht naik mendadak

SINGAPURA: Selepas ketinggalan berbanding mata wang Asia lain hampir seluruh tahun ini, baht Thailand melantun semula untuk mengatasi mata wang serantau.

Baht mencatatkan rali hampir 1.5 peratus bulan ini selepas susut lebih tujuh peratus pada empat bulan pertama 2020.

Pemangkinnya adalah pelabur menjangkakan ekonomi Thailand yang bergantung kepada pelancongan akan pulih dengan pantas daripada krisis COVID-19 apabila beberapa ekonomi mula dibuka semula.

"Lebih pantas vaksin disediakan bermakna lebih cepat pemulihan dalam industri seperti peruncitan dan pelancongan, justeru mata wang yang bergantung kepada sektor berkenaan akan bertindak balas lebih segera," kata ketua strategi makro Westpac Banking Corp berpangkalan di Singapura, Frances Cheung.

Ahli strategi tukaran asing Malayan Banking Bhd, Yanxi Tan menjangkakan baht akan meningkat kepada 31.7 sedolar menjelang akhir tahun apabila pandemik semakin reda.

Mata wang itu mencatatkan rali sehingga 0.5 peratus kepada 31.872 sedolar pada Selasa, dengan sentimen didorong oleh isyarat perkembangan pembangunan virus bagi melawan virus berkenaan.

Namun, lantunan semula baht mungkin akan dihadkan selepas kerajaan memberi amaran ekonomi akan menguncup setinggi enam peratus tahun ini susulan wabak itu.

Penganalisis berkata, pelonggaran sekatan akan meningkatkan keyakinan.

Thailand membenarkan pusat beli belah meneruskan perniagaan sebagai pembukaan semula berfasa perintah berkurugnya, walaupun ia kekal dalam darurat sepanjang bulan ini.

"Thailand melakukan yang terbaik untuk membendung penularan COVID-19, dengan negara itu membuka semula perniagaan dan melonggarkan sekatan secara berperingkat," kata ahli strategi makro DBS Bank Ltd di Singapura, Chang Wei Liang.

"Ini memberikan pelabur keyakinan bahawa pelancongan akan pulih secara perlahan-lahan, sekali gus menyokong baht."

-Bloomberg

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X