Rabu, 20 Mei 2020 | 12:01pm
Gambar fail: Pengguna membeli barangan keperluan harian di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat. -Foto Bernama.
Gambar fail: Pengguna membeli barangan keperluan harian di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat. -Foto Bernama.

Kadar inflasi April catat penguncupan, -2.9 peratus

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP), antara penanda aras utama kadar inflasi pada April 2020 adalah -2.9 peratus, iaitu kadar perubahan ke paras terendah sejak 2010, demikian mengikut Jabatan Statistik.

Antara pengukur utama harga barangan dan perkhidmatan itu susut kepada 117.6 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks kumpulan Pengangkutan (-21.5%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-2.2%) yang menyumbang 14.6 peratus dan 23.8 peratus daripada keseluruhan wajaran," kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, purata harga RON95 yang lebih rendah pada April 2020 iaitu RM1.27 per liter berbanding RM2.08 pada April 2019 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM1.57 per liter berbanding RM2.71 manakala Diesel menurun kepada RM1.49 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kumpulan utama Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi April 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 133.9 berbanding 132.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan itu berkata, kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus diikuti Komunikasi (1.6%), Kesihatan (1.2%) dan Pendidikan (1.2%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP turut menurun 2.7 peratus berbanding Mac 2020. Penurunan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (-13.5%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.8%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga April 2020 menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurut jabatan itu, indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -2.0 hingga -3.9 peratus bagi April 2020 berbanding April 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah & Perlis (-3.9%) diikuti oleh Sarawak (-3.8%) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-3.7%).

Sebaliknya, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%), Perak (1.8%), Terengganu (1.8%), Johor (1.7%) dan Pulau Pinang (1.5%) dan ia melebihi paras nasional 1.2 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada April 2020.

Jabatan Statistik berkata, IHP tanpa bahan api untuk kenderaan (RON95, RON97 dan Diesel) berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus manakala indeks teras meningkat 1.3 peratus pada April 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Berita Harian X