Isnin, 18 Mei 2020 | 4:27pm
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan

Syor tambah subsidi upah elak krisis pengangguran

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan penambahan peruntukan program subsidi upah dan pengurangan caruman majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mengelakkan lebih ramai pekerja diberhentikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata tindakan itu boleh mengelakkan negara terjerumus kepada kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah pada 1986, iaitu 7.4 peratus.

Beliau berkata, kesan daripada COVID-19 melumpuhkan ekonomi dunia, dengan Malaysia sudah kehilangan RM2.4 bilion sehari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi juga kekal tinggi susulan laporan bahawa vaksin hanya dapat dihasilkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, sekali gus mencetus implikasi kepada ekosistem sosial dan ekonomi di seluruh dunia.

"Situasi yang berlaku pada 1986 dan 2020 adalah berbeza sama sekali apabila kita mengambil kira saiz ekonomi, jumlah penduduk dan penyebabnya. Keadaan ekonomi meruncing pada masa ini akan memberi kesan besar kepada sektor pekerjaan.

"Banyak majikan terpaksa melaksanakan jalan terakhir (pemberhentian pekerja) kerana tidak mampu menampung kos, walaupun tindakan itu amat berisiko kepada perniagaan apabila ekonomi kembali pulih.

"Tambahan pula, kelembapan ekonomi akibat COVID-19 akan berpanjangan dan dijangkakan sehingga Jun 2021," katanya kepada BH.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pengumuman pertumbuhan ekonomi suku pertama minggu lalu mendedahkan kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus tahun ini.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kerajaan memiliki kemampuan untuk memperkenalkan pakej rangsangan khas bagi merealisasikan harapan majikan di sektor swasta.

"Negara mempunyai rizab lebih RM400 bilion. Inilah masanya untuk kerajaan menggunakan rizab berkenaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.

"Pada masa ini, amat sukar untuk kita bergantung kepada eksport kerana negara luar juga menghadapi masalah yang serupa," katanya.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Program Pengekalan Pekerja (ERP) membabitkan dana berjumlah RM240 juta yang dapat dimanfaatkan oleh 66,000 pekerja.

Program subsidi upah yang ditawarkan dalam pakej rangsangan pula hanya meliputi kira-kira 17 peratus gaji di sektor swasta sebulan berbanding di United Kingdom, Perancis, Kanada dan Singapura membabitkan jumlah subsidi upah pada kadar 60 hingga 80 peratus.

Shamsuddin berkata, selain dana tambahan program subsidi upah, pengurangan kadar caruman majikan ke KWSP dapat membantu aliran tunai majikan.

Katanya, MEF mencadangkan agar kadar caruman majikan dikurangkan kepada lima peratus dengan syarat jika majikan memberhentikan pekerja, caruman KWSP yang terkurang hendaklah dibayar semula.

"Kerajaan hendaklah membuat peraturan yang membenarkan majikan untuk mengurangkan gaji dan faedah perkhidmatan bagi menurunkan kos buruh. Langkah berkenaan boleh membantu majikan untuk tidak memberhentikan pekerja," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X