Jumaat, 8 Mei 2020 | 12:12pm
AS dan China memeterai perjanjian fasa pertama pada Januari lalu - Gambar fail AFP
AS dan China memeterai perjanjian fasa pertama pada Januari lalu - Gambar fail AFP

AS, China setuju tetapkan syarat perjanjian perdagangan

BEIJING: Wakil perdagangan China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menetapkan syarat yang memihak bagi perjanjian perdagangan fasa pertama yang dimeterai Januari lalu, kata pegawai Beijing.

Persetujuan dicapai meskipun terdapat sedikit ketegangan baru-baru ini disebabkan COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri China, Liu He, yang mengetuai rundingan membuat panggilan bersama Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, kata notis dari Kementerian Perdagangan.

"Kedua-dua pihak mengatakan mereka harus memperkuat kerjasama makroekonomi dan kesihatan awam, berusaha untuk mewujudkan suasana dan syarat yang baik untuk pelaksanaan perjanjian ekonomi dan perdagangan AS-China fasa pertama, yang mempromosikan hasil positif," katanya.

Kedua-dua negara itu juga bersetuju untuk menjaga komunikasi dan koordinasi.

Persefahaman itu berlaku setelah kedua-dua negara baru-baru ini bertikam lidah mengenai isu COVID-19.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu terhadap China setelah mendakwa terdapat bukti yang mengaitkan COVID-19 dengan makmal keselamatan di bandar Wuhan, di mana patogen pertama kali muncul akhir tahun lalu.

Pada Januari, Beijing bersetuju untuk mengimport AS$200 bilion tambahan produk AS selama dua tahun, melebihi tahap yang dibeli pada 2017, menandakan gencatan dalam perang perdagangan.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X