Rabu, 29 April 2020 | 1:47pm
Gambar fail: Pengguna jalan raya di Malaysia . Foto AFP
Gambar fail: Pengguna jalan raya di Malaysia . Foto AFP

Minyak rendah: Kos pengangkutan susut hampir 10 peratus pada Mac

KUALA LUMPUR: Kos pengangkutan dijangka terus berkurangan dalam bulan mendatang berikutan kejatuhan mendadak harga minyak mentah global, demikian kata Maybank Research.

Pada Mac 2020, kos pengangkutan menyusut -8.9 peratus dari tahun ke tahun, berbanding Februari 2020 yang meningkat 2.4 peratus dari tahun ke tahun.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) itu berkata, harga bagi RON95 dan RON97 pada Mac 2020 juga lebih rendah berbanding Mac 2019, yang dicerminkan oleh kejatuhan kos operasi peralatan pengangkutan peribadi dan bahan api dan pelincir untuk peralatan pengangkutan peribadi.

"Kos pengangkutan jatuh pada Mac 2020 dan dijangka kekal dalam wilayah negatif dalam bulan mendatang di tengah-tengah kejatuhan mendadak harga minyak mentah global," katanya dalam nota penyelidikannya.

Maybank Research berkata, pasaran minyak mentah global terus mengalami keadaan lebihan bekalan berikutan kemerosotan permintaan susulan langkah sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 menjejaskan ekonomi global.

Ia berkata, sektor pengangkutan, yang mewakili lebih 60 peratus permintaan minyak global, terjejas secara langsung oleh langkah membendung pandemik itu.

Harga petrol RON97 terus susut kepada RM1.55 seliter untuk minggu 18 hingga 24 April 2020, berbanding Mac 2020 RM2.02 seliter berikutan harga Brent terus kekal di bawah AS$30 setong sejak 16 Mac 2020.

Pada Mac 2020, harga diesel jatuh kepada RM1.88 seliter, sementara harga petrol RON95 berkurangan kepada RM1.72 seliter.

Bagi tempoh 25 April 2020 sehingga 1 Mei 2020, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM1.55 seliter, RON95 kekal pada paras RM1.25 seliter manakala harga runcit diesel turun sebanyak tiga sen seliter kepada RM1.40 seliter berbanding RM1.43 seliter.

Pada minggu lalu, harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) jatuh teruk dalam sejarah di bawah paras sifar kepada -AS$37.63 setong berikutan pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi global.

Berita Harian X