Jumaat, 24 April 2020 | 12:33pm
Gambar hiasan - Foto AFP
Gambar hiasan - Foto AFP

COVID-19: Pembelian permainan video digital melonjak tinggi

SAN FRANCISCO: Perbelanjaan bagi permainan video digital mencecah AS$10 bilion (RM43.6 bilion) pada Mac, paras tertinggi dalam sejarah.

Ia didorong perintah pergerakan di seluruh dunia dicetuskan COVID-19, kata penjejak pasaran SuperData dalam satu laporan, semalam.

Wang yang dibelanjakan untuk permainan konsol utama meningkat AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) pada Mac daripada AS$883 juta (RM3.85 bilion) pada Februari, sementara perbelanjaan untuk komputer peribadi (PC) berprestasi tinggi melonjak 56 peratus kepada AS$567 juta (RM2.47 bilion) berbanding bulan sebelumnya.

Permainan konsol dan PC cenderung menjadi popular di Eropah dan Amerika Utara di mana larangan untuk keluar meningkat pada Mac susulan pandemik.

"Individu beralih ke permainan sebagai pilihan hiburan yang boleh dipercayai semasa krisis COVID-19 dan menggunakan pelbagai pemain (multiplayer) dalam talian untuk terus berhubungan dengan orang lain," kata SuperData dalam catatan blognya.

Pendapatan keseluruhan daripada permainan video digital bagi Mac meningkat 11 peratus tahun ke tahun, demikian menurut penjejak pasaran.

Nintendo menjual lima juta salinan permainan mesra keluarga 'Animal Crossing: New Horizons' pada Mac, menjadikan ia permainan digital paling tinggi dijual dalam satu bulan, kata SuperData.

Penutupan kedai jualan akibat pandemik dikatakan menjadi faktor 'gamers' membuat pembelian lebih banyak menerusi muat turun digital.

Perbelanjaan meningkat 15 peratus untuk permainan mudah alih, dengan kebanyakannya bermain menerusi telefon pintar mencecah AS$5.7 bilion (RM24.8 bilion) pada Mac, lapor SuperData.

Antara permainan utama, 'Pokemon Go' yang menyaksikan pendapatan bagi permainan mudah alih menongkat 18 peratus pada Mac selepas pengeluarnya, Niantic mengubah suai ciri untuk menjadikan lebih mudah untuk bermain tanpa memerlukan pemain keluar dan menjelajah, demikian menurut SuperData.

Konsol generasi baharu, Xbox dan PlayStation bersama dengan perkakasan bersesuaian dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

Microsoft memperkenalkan nama dan reka bentuk konsol permainan video baharu iaitu Xbox Series X.

Sementara, Sony bersedia dengan konsol paling berkuasa, PlayStation 5 ke pasaran.

Bagaimanapun, permainan konsol berdepan potensi ancaman daripada permainan digital.

Awal bulan lalu, Google menghasilkan perkhidmatan permainan video dalam talian percuma, Stadia bagi mereka yang terperangkap mengisi masa terluang di rumah disebabkan COVID-19.

Dilancarkan akhir tahun lalu, Stadia direka untuk memudahkan orang ramai mengakses permainan konsol berkualiti semudah mereka menghantar e-mel pada pelbagai peranti yang berkaitan dengan internet.

"Menjaga penjarakan sosial adalah sangat penting, tetapi berada di rumah untuk tempoh lama boleh menjadi sangat sukar dan merasa terasing," Presiden Video Stadia, Phil Harrison dalam hantaran dalam talian.

"Permainan video boleh menjadi cara yang berharga untuk bersosial dengan rakan dan keluar ketika anda berada di rumah."

Google menawarkan akses Stadia secara percuma untuk tempoh dua bulan. - AFP

Berita Harian X