Rabu, 22 April 2020 | 10:00pm
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

MPC anjur perundingan awam bina hospital swasta

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambil inisiatif anjurkan perundingan awam rujukan reka bentuk teknikal maya pertama untuk kesiapsiagaan bencana dalam menubuhkan hospital swasta baharu.

Rujukan dalam talian itu adalah inisiatif dari bengkel kumpulan fokus yang dihadiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi teknikal dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Arkitek Malaysia (PAM) diadakan pada 14 hingga 16 Disember 2018 di Pulau Pinang.

MPC dalam satu kenyataan berkata, kumpulan fokus sudah mengenal pasti beberapa aspek kritikal yang menekankan pada spesifikasi teknikal merangkumi sistem pengurusan keselamatan dan bencana serta membenarkan kelulusan untuk bangunan hospital baharu.

Juara Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta MPC, Datuk Dr Jacob Thomas, berkata kecenderungan urbanisasi dan kekurangan tanah adalah antara tumpuan perniagaan terhadap pembangunan kemudahan kesihatan dan pembangunan semula untuk penggunaan ruang yang lebih baik.

Beliau berkata, hospital bertingkat bukan konsep baharu di dunia termasuk kekangan ruang, mengoptimumkan kecekapan dan meningkatkan rawatan pesakit.

Kumpulan fokus, katanya, mahu mengatasi jurang ini dengan menghasilkan garis panduan untuk bangunan hospital swasta bertingkat.

Katanya, garis panduan pertama itu untuk menangani pengurusan risiko dan bencana (bencana buatan manusia dan bencana alam).

“Ini memudahkan pelabur, kerana sudah ada permintaan untuk perkara itu,” katanya.

Berita Harian X