Isnin, 20 April 2020 | 1:13pm
Canselor Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP
Canselor Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP

COVID-19: Jerman buka semula ekonomi

BERLIN: Jerman mengambil langkah pertama kembali normal pada Isnin, membenarkan kedai kecil di beberapa wilayah dibuka semula setelah penutupan dalam tempoh sebulan, apabila pemimpin negara itu mengisytiharkan COVID-19 ‘dalam kawalan’.

Dari kedai bunga hingga kedai fesyen, sebahagian besar kedai yang berukuran lebih kecil daripada 800 meter persegi (8,600 kaki persegi) akan dibenarkan dibuka semula, dalam gelombang pelonggaran pertama bagi kawalan ketat terhadap kehidupan awam yang diperkenalkan bulan lalu.

Canselor, Angela Merkel dan Ketua Menteri negeri mengumumkan keputusan untuk dibuka kembali minggu lalu, meskipun mereka terus berwaspada untuk menjadikannya sebagai langkah pertama.

Walaupun kedai pertama akan dibuka pada Isnin, masing-masing dari 16 negeri di Jerman akan menarik balik sekatan secara berlainan.

Di beberapa negeri seperti ibu kota Berlin, pembukaan semula akan memakan masa lebih lama.

Merkel, yang dipuji kerana menangani krisis COVID-19, berharap dapat menghidupkan semula ekonomi Jerman yang tenat, yang mana secara rasmi memasuki kemelesetan minggu lalu.

Dengan 139,897 kes yang disahkan dan 4,294 kematian pada Ahad, Jerman menjadi salah satu negara yang paling teruk dilanda COVID-19, tetapi juga salah satu yang paling cepat bertindak balas.

Pada Jumaat, Robert Koch Institute untuk kesihatan awam mengumumkan bahawa kadar jangkitan, jumlah pesakit dijangkiti berkurangan di bawah satu buat pertama kalinya, menyebabkan Menteri Kesihatan, Jens Spahn mengisytiharkan virus itu "di bawah kawalan".

Namun Merkel, yang dikuarantin selama dua minggu awal bulan ini sebelum diuji negatif virus berkenaan, telah memperingatkan bahawa kejayaan Jerman tetap "rapuh".

“Kita tidak akan dapat kembali ke kehidupan normal kita untuk jangka masa yang lama,” kata rakan sejawatnya dari Parti Konservatif, Armin Laschet, Perdana Menteri North-Rhine Westphalia, wilayah paling ramai penduduk di negara itu.

Dalam temu bual dengan Der Spiegel, Laschet memberi amaran bahawa beberapa sekatan COVID-19 sehingga 2021.

Larangan perhimpunan lebih dua orang dan syarat untuk berdiri lebih dari 1.5 meter daripada yang lain dalam kawasan awam tetap dilaksanakan.

Ia bererti bahawa pendandan rambut, yang pada mulanya dianggap sebagai perniagaan penting, tidak dapat dibuka sehingga sekurang-kurangnya 4 Mei.

Tempat kebudayaan, bar, pusat riadah dan salon kecantikan juga akan ditutup buat masa ini, sementara acara umum berskala besar seperti konsert dan perlawanan bola sepak dilarang sehingga 31 Ogos.

Dengan kedai yang lebih besar tidak dapat dibuka, Persatuan Perdagangan Jerman memberi amaran pada Jumaat mengenai kemungkinan "penyelewengan persaingan".

Namun Menteri Ekonomi, Peter Altmaier mempertahankan had 800 meter persegi, dengan mengatakan bahawa ia hanya dapat dilonggarkan sedikit demi sedikit. - AFP

Berita Harian X