Rabu, 15 April 2020 | 12:17pm
Thailand melanjutkan larangan masuk penerbangan penumpang sehingga akhir April.
Thailand melanjutkan larangan masuk penerbangan penumpang sehingga akhir April.

COVID-19: Thailand lanjutkan larangan masuk penerbangan

BANGKOK: Thailand melanjutkan larangan ke atas penerbangan masuk penumpang sehingga akhir bulan ini bagi membendung penularan COVID-19.

Larangan itu mula diperkenalkan pada 4 April lalu dan Lembaga Penerbangan Awam Thailand sebelum ini telah melanjutkannya sekali sehingga 18 April ini.

Sejak penularan meningkat pada Januari, Thailand melaporkan 2,613 kes dan 41 kematian, manakala 1,405 pesakit telah pulih.

Industri pelancongan Thailand, yang juga majikan dan hasil mata wang asing utama negara itu, teruk terjejas.

Ekonomi Thailand dijangka kehilangan 1.3 trilion baht (RM170 bilion), hampir keseluruhannya dalam sektor pelancongan, susulan impak awal pandemik coronavirus, namun angka itu akan meningkat jika krisis berlarutan sehingga suku kedua, demikian menurut anggaran Persatuan Ahli-Ahli Perbankan Thailand.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negerinya berkata, Thailand akan membuka semula sempadan di 21 wilayah Sabtu ini bagi membolehkan rakyatnya di negara jiran pulang, selepas menutupnya akhir bulan lalu.

Sehingga 100 orang akan dibenarkan memasuki setiap pintu masuk sempadan sehari.

Mereka akan dikenakan kuarantin kerajaan selama 14 hari, kata kementerian itu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X