Selasa, 14 April 2020 | 9:30pm
Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia

Kawal selia bank hadkan kejutan ekonomi di Malaysia - Moody's

KUALA LUMPUR: Aspek peraturan pengawalseliaan akan mengehadkan kejutan ekonomi susulan penularan COVID-19, namun pada masa sama akan turut meningkatkan risiko untuk bank-bank terbabit, demikian menurut Moody’s Investors Service (Moody’s).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Moody’s berkata Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac lalu, telah mengumumkan langkah penangguhan atau moratorium hutang selama enam bulan untuk peminjam dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu syarikat terbabit menguruskan kekangan mudah tunai yang terjejas akibat penularan pandemik itu.

“Moratorium itu akan mengurangkan impak kredit negatif dalam tempoh terdekat terhadap kualiti aset bank-bank berkenaan. Namun, ia turut menghalang bank-bank daripada melaksanakan tindakan penstrukturan semula atau pemulihan terhadap peminjam tertentu.

“Ini boleh menyebabkan kerugian kredit lebih tinggi selepas moratorium itu ditamatkan. Kami menjangkakan pinjaman bank akan terjejas selepas moratorium berakhir, terutama jika penularan COVID-19 itu terus berlarutan dan mengganggu aktiviti ekonomi,” katanya.

Malah kata Moody’s, sebelum moratorium secara automatik itu dilaksanakan, pihak bank telah menawarkan langkah sama kepada peminjam mengikut kes-kes secara berasingan dan lebih 70 peratus pinjaman bank setakat 31 Disember 2019 adalah tertakluk kepada moratorium itu.

Antara bank yang dinilai Moody’s seperti Public Bank Bhd (A3 stabil, a3) dan Hong Leong Bank Bhd (A3 stabil, a3) memiliki pinjaman yang layak bagi moratorium itu kerana tumpuan institusi perbankan tersebut terhadap segmen peruncitan dan PKS, katanya.

“Bagaimanapun, jumlah pinjaman tertunggak itu boleh berubah apabila pelanggan yang mempunyai lebih atau tunai yang banyak memilih untuk keluar dan bank pula memberi kemudahan moratorium hutang itu untuk peminjam korporat,” kata firma penyelidikan itu.

Menurutnya, BNM juga menggalakkan bank-bank untuk memberi pinjaman dengan menurunkan ketetapan pengawalseliaan ke atas mudah tunai dan modal yang seiring dengan pendekatan sama dilaksanakan oleh Bank Pusat Eropah pada Mac lalu.

Institusi perbankan itu kini boleh memanfaatkan penampan pemuliharaan modal sebanyak 2.5 peratus dan rizab pengawalseliaan selain beroperasi di bawah nisbah perlindungan minimum mudah tunai 100 peratus sehingga 31 Disember 2020.

“Nisbah pendanaan stabil bersih minimum akan turut dikurangkan kepada 80 peratus daripada 100 peratus apabila dilaksanakan pada Julai 2020,” katanya.

Namun, kelonggaran pengawalseliaan ini juga boleh meningkatkan risiko terhadap pemiutang bank.

“Setakat ini, bank-bank Malaysia mempunyai permodalan melebihi ketetapan pengawalseliaan sedia ada dan mudah tunai juga kukuh dengan beberapa penampan melebihi ketetapan minimum.

“Tekanan mudah tunai daripada moratorium hutang itu berkemungkinan besar akan diimbangi oleh permintaan pinjaman yang lebih rendah serta peningkatan peminjam yang memilih untuk keluar daripada moratorium automatik itu,” katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X