Rabu, 8 April 2020 | 5:47pm

eTRADE sedia PKS akses pasaran antarabangsa: MATRADE

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memanfaatkan program eTRADE yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam mengembangkan perniagaan dan pasaran mereka secara dalam talian di tengah-tengah penularan COVID-19.

Agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, program eTRADE adalah inisiatif untuk menyediakan PKS akses kepada pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam talian dalam peneraju e-marketplace antarabangsa.

Ia berkata, pemohon yang berjaya akan menerima bantuan untuk yuran langganan, khidmat nasihat serta bimbingan atau bantuan secara dalam talian untuk masuk ke dalam e-marketpace B2B/B2C yang dipilih.

“Di bawah program ini, MATRADE bekerjasama dengan 20 e-marketplace untuk menyediakan PKS pilihan e-marketplace yang menepati pelan perniagaan mereka.

“Antaranya ialah Alibaba, eBay, Amazon, HalalStreet, eRomman, TradeIndia, Tmall Global and JD.com, sementara e-marketplace tempatan termasuk BuyMalaysia, DagangHalal, MineBisz dan AVANA,” kata MATRADE dalam satu kenyataan.

Sejak program itu dilaksanakan, lebih 3,500 permohonan diluluskan, dengan majoritinya mendapat manfaat dari segi peningkatan peluang perniagaan daripada pertanyaan yang diterima di peringkat global, selain mempertingkatkan pengetahuan teknikal mereka dalam menjalankan perniagaan secara dalam talian.

PKS juga berjaya meningkatkan pendapatan eksport mereka dan menembusi pasaran baharu seperti China, Kemboja, Jepun, Australia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata pihaknya melaksanakan promosi kukuh untuk menggalakkan syarikat Malaysia menubuhkan kehadiran mereka secara dalam talian menerusi pelbagai e-marketplace, di samping saluran tradisional mereka.

Beliau berkata, jualan secara digital menerusi platform dalam talian menjadi saluran alternatif untuk mengembangkan pendapatan eksport serta mendapatkan pelanggan baharu di peringkat global.

“Ketika pandemik COVID-19, ia menjadi pilihan mod pembelian kerana tidak memerlukan interaksi bersemuka secara fizikal antara penjual dan pembeli,” katanya.

Selain itu, syarikat Malaysia boleh terus mempunyai akses untuk pertanyaan daripada pembeli antarabangsa dengan memanfaatkan `Trade leads’ yang tersedia di MyExport, perkhidmatan secara dalam talian untuk pengeksport Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu, MATRADE menerima sejumlah 239 `Trade leads’ dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, peranti perubatan dan produk farmaseutikal, automotif, perabot, kimia, elektrik dan elektronik, optik dan produk saintifik dan perkhidmatan pembinaan.

Selain `Trade leads’, MyExport juga menyediakan makluman pasaran, produk dan kajian pasaran terkini dari pejabat MATRADE di seluruh dunia.

Berita Harian X