Rabu, 8 April 2020 | 4:24pm
Gambar fail, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - Foto Aswadi Alias
Gambar fail, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - Foto Aswadi Alias

Tawaran GSV ambil alih Malaysia Airlines dinilai sewajarnya

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan membuat penilaian secara terperinci dan sewajarnya mengenai tawaran pengambilalihan Malaysia Airlines Bhd oleh Golden Skies Ventures Sdn Bhd (GSV) bernilai AS$2.5 billion (RM10.86 bilion).

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata firma pelaburan milik kerajaan itu tidak yakin dengan GSV memandangkan syarikat itu tidak dapat membuktikan sumber kewangan meskipun mendakwa memiliki sokongan kewangan dari sebuah bank Eropah.

“Kita akan menilai secara berhati-hati tawaran ini sama ada ia dilakukan bersama syarikat kewangan berlandaskan keadaan semasa krisis penerbangan global dan risiko kredit.

“Selain itu, cadangan GSV juga bergantung kepada sepenuhnya ke atas pembiayaan hutang dari pihak ketiga dan mereka tidak memiliki ekuiti sendiri,” katanya.

Difahamkan GSV yang ditubuhkan bekas pegawai Malaysia Airlines dan profesional yang berpengalaman dalam penerbangan mengemukakan tawaran sebulan lalu.

Menurut laporan media, GSV tidak hanya dibantu bank di Eropah, malah syarikat ekuiti swasta dari Jepun juga menyatakan komitmen untuk menyuntik dana segera menerusi perjanjian ekuiti.

Sebelum ini, syarikat penerbangan Perancis, KLM, syarikat penerbangan Jepun, AirAsia Group Bhd dan Malindo Air dikatakan menunjukkan minat terhadap Malaysia Airlines.

Khazanah adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines melalui syarikat induk Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut Shahril Ridza, masih terlalu awal untuk menentukan pilihan strategik untuk Malaysia Airlines.

Terdahulu, penganalisis berkata, pelabur masih ragu-ragu mengenai prospek syarikat penerbangan nasional mencari rakan kongsi strategik dalam kalangan pelabur asing selepas sektor itu terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Namun, pembeli berpotensi mungkin dapat memanfaatkan situasi semasa bagi mendapat penilaian syarikat penerbangan yang lebih rendah.

Syarikat penerbangan global sudah pun terjejas dengan persaingan sengit di tengah-tengah permintaan perjalanan udara yang perlahan, mendorong ia mengurangkan kapasiti dan memulakan langkah pemotongan kos.

Menurut analisis terkini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sejumlah 25 juta pekerja berisiko kehilangan pekerjaan susulan kemerosotan permintaan bagi perjalanan udara akibat krisis COVID-19.

Di peringkat global, sekitar 65.5 juta orang bergantung kepada industri penerbangan termasuk sektor perjalanan dan pelancongan.

Daripada analisis IATA, sejumlah 11.2 juta pekerja berisiko hilang pekerjaan di Asia Pasifik, manakala 5.6 juta pekerjaan di Eropah, 2.9 juta pekerja di Amerika Latin, 2.0 juta pekerja masing-masing di Amerika Utara dan Afrika, serta 900,000 pekerja di Asia Barat.

Berita Harian X