Isnin, 30 March 2020 | 1:40pm
Suasana lengang di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu petang yang kebiasaannya dipenuhi kenderaan ketika tinjauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan COVID-19. -fotoBERNAMA (2020)
Suasana lengang di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu petang yang kebiasaannya dipenuhi kenderaan ketika tinjauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan COVID-19. -fotoBERNAMA (2020)

COVID-19: Masih ada ruang lagi rangsang ekonomi - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai ruang merangsang ekonomi menerusi pengembangan fiskal selanjutnya, jika kesan negatif penularan COVID-19 semakin buruk dan berterusan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan sememangnya mempunyai ruang fiskal untuk berbelanja dengan lebih dalam waktu sukar ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan hutang sedia ada iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbedaharaan, saiz hutang kerajaan adalah sekitar 48.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Jelasnya, nisbah itu adalah mengikut takrifan sedia ada bagi tujuan pengiraan had hutang atau "self imposed debt limit" iaitu 55 peratus daripada KDNK.

"Pada paras (semasa) 48.7 peratus daripada KDNK, kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk belanja.

"Berdasarkan jangkaan kami, defisit fiskal negara boleh melonjak sehingga 6.4 peratus jika paras hutang mencapai had hutang 55 peratus," katanya kepada BH bagi mengulas sama ada kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk merangsang ekonomi negara.

Di samping itu, Mohd Afzanizam berkata, kenyataan oleh agensi penarafan kredit S&P Global Rating yang telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia baru-baru ini iaitu A-, menyatakan bahawa tindakan kerajaan untuk memelihara pertumbuhan ekonomi adalah sesuatu yang digalakkan.

Justeru, katanya, tindakan kerajaan untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi adalah tepat dan tidak mengabaikan aspek disiplin kewangan.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pula berkata pada masa ini, defisit negara masih pada sekitar -3.0 peratus hingga -4.0 peratus daripada KDNK, jadi kerajaan masih ada ruang pengembangan fiskal.

Beliau berkata, apabila Malaysia mengalami krisis pada 1980an, kadar defisit adalah pada -17 peratus dan hutang negara berada pada lingkungan lebih 100 peratus daripada KDNK.

"Ini bermakna kita masih ada ruang. Malah, kita perlu ingat bahawa daripada RM250 bilion pakej rangsangan itu, hanya RM25 bilion sahaja datang dari suntikan langsung fiskal kerajaan," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebelum ini dilaporkan berkata, kini adalah masanya untuk melaksanakan dasar pengembangan fiskal bagi melindungi rakyat dan ekonomi daripada terjejas oleh impak penularan COVID-19.

Beliau yang juga ahli perbankan sebelum menggalas tugas menerajui Kementerian Kewangan, berkata dasar pengembangan itu tidak bermakna kerajaan melangkaui kemampuannya walaupun defisit fiskal tahun ini diunjurkan dalam lingkungan 4.0 peratus.

"Berdasarkan apa yang berlaku pada hari ini (di peringkat global), menerusi gabungan rangsangan ekonomi dan kelembapan ekonomi, kita mengandaikan dapat mencatat defisit sekitar 4.0 peratus berbanding unjuran awal defisit Belanjawan 2020 pada 3.2 peratus (daripada KDNK)," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X