Sabtu, 28 March 2020 | 3:40pm

COVID-19: APEC perlu proaktif tangani cabaran

KUALA LUMPUR: Lembaga Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) menggesa Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengambil langkah proaktif dalam memerangi cabaran serius membabitkan kesihatan dan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Rohana Mahmood, berkata ABAC telah menulis kepada Menteri-menteri Perdagangan dan Luar APEC bagi mendesak mereka menerajui langkah menghapuskan halangan untuk berdagang membabitkan peralatan dan keperluan penting memerangi pandemik itu.

Ia, katanya, termasuk peralatan perubatan, ubat-ubatan dan bahan pelindung asas seperti sabun, disinfektan dan alat pelindung diri.

“Selaras dengan usaha ini, negara-negara terbabit harus membantu perdagangan membabitkan bekalan kritikal ini dengan mempermudah dan mempercepatkan prosedur sempadan selain harus melonggarkan peraturan untuk membolehkan pekerja penting, termasuk profesional perubatan bergerak melintasi sempadan untuk melayani keperluan yang paling diperlukan.

“Negara anggota APEC juga perlu berkongsi pengalaman mereka dalam bertindak membendung pandemik ini, bertukar maklumat dan penyelidikan, di samping bekerjasama dalam langkah-langkah kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rohana berkata, tindakan yang diambil perlu melangkaui sekadar menangani masalah kesihatan kerana ia telah dengan pantas menjadi krisis kewangan dan ekonomi dengan impak yang dibawa terhadap pekerja, perniagaan dan rantaian bekalan sudah menjadi teruk.

“Kami amat bimbang dengan nasib khususnya membabitkan perniagaan kecil, bekerja sendiri dan mereka yang berada di ekonomi tidak formal, yang tidak mempunyai persediaan mencukupi untuk menahan impak ini.

"Kami menyeru Menteri untuk berkongsi idea dan bekerjasama dalam pendekatan untuk menangani kenaikan mendadak pengangguran, kebankrapan serta cabaran perniagaan lain membabitkan kecairan, pembayaran kredit dan cukai,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X