X
Jumaat, 27 March 2020 | 2:51am
Gambar hiasan: permandangan sebuah tapak pam gerudi minyak mentah di Permian Basin, Loving County, Texas, Amerika Syarikat. - REUTERS/Angus Mordant
Gambar hiasan: permandangan sebuah tapak pam gerudi minyak mentah di Permian Basin, Loving County, Texas, Amerika Syarikat. - REUTERS/Angus Mordant

Syarikat minyak dan gas utama dunia kurang perbelanjaan

LONDON: Syarikat minyak dan gas terbesar dunia mengurangkan perbelanjaan tahun ini susulan kejatuhan harga komoditi berikutan kemerosotan permintaan akibat COVID-19 dan perang harga Arab Saudi dan Russia.

Pengurangan perbelanjaan sudah pun diumumkan oleh lima syarikat minyak utama termasuk Saudi Aramco dan Royal Dutch Shell dan nilai yang digabungkan berjumlah AS$25 bilion (RM108.4 bilion) atau penurunan sebanyak 20 peratus daripada pelan perbelanjaan awal bernilai AS$27 bilion (RM117.02 bilion).

Rabu lalu, syarikat minyak Norway, Equinor, berkata ia memotong perbelanjaan modal (capex) sekitar AS$2 bilion (RM8.7 bilion) sementara Chevron pula mengurangkan capex berjumlah AS$4 bilion (RM17.3 bilion) tahun ini.

Syarikat lain seperti Exxon Mobil Corp dan BP juga bercadang mengurangkan capex, namun tidak menyatakan angka tertentu setakat ini.

Syarikat minyak Brazil, Petrobras berkata, ia menangguhkan pengeluaran jangka pendek, menunda pembayaran dividen dan mengurangkan pelan pelaburan 2020 yang mana usaha itu adalah untuk mengurangkan kos.

Harga minyak menjunam 60 peratus sejak Januari kepada AS$30 setong.

Minyak mentah Brent susut 1.7 peratus kepada AS$26.70 setong pada Rabu disebabkan permintaan tidak menentu yang mengimbangi pakej rangsangan ekonomi besar Amerika Syarikat (AS) yang masih menunggu kelulusan.

Pelabur juga berkata, jika krisis semasa berlarutan, pengumuman pengurangan perbelanjaan syarikat minyak utama di lihat tidak mencukupi bagi membolehkan ia mengekalkan dividen tanpa menambah hutang yang sudah memuncak.

Gabungan hutang Chevron, Total, BP, Exxon Mobil dan Royal Dutch Shell berada pada AS$231 bilion (RM1.001 trilion) setakat akhir 2019, menghampiri paras AS$235 bilion (RM1.018 trilion) yang direkodkan pada 2016, apabila harga minyak susut di bawah AS$30 setong. - Reuters

Berita Harian X