Khamis, 26 March 2020 | 9:34pm

MATTA mohon bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan membenarkan sektor swasta menghentikan sumbangan mandatori kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HDRF) serta lain-lain levi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Sebagai tambahan, MATTA turut meminta kerajaan membenarkan penangguhan cukai korporat dan individu bagi tahun penilaian 2019, di samping membantu sektor perniagaan membayar 60 peratus gaji pekerja sehingga maksimum RM4,000 tiap seorang pekerja bagi tempoh enam bulan akan datang, bagi mengelak ramai diberhentikan kerja disebabkan cabaran ekonomi yang melampau yang dihadapi oleh sektor perniagaan disebabkan wabak COVID-19.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata industri pelancongan menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 3.5 juta orang (23.5 peratus daripada jumlah pekerjaan nasional), mewakili hampir suku jumlah pekerjaan di Malaysia.

“Dijangka dua dari lima orang, atau 40 peratus daripada rakyat Malaysia akan kehilangan kerja, sekali gus turut mencetuskan kesan yang turut membabitkan lain-lain sektor.

“Sekiranya bantuan rangsangan seumpamanya tidak digerakkan segera, isu kecairan akan memaksa banyak syarikat-syarikat perkhidmatan dan pelancongan kecil dan sederhana menghentikan operasi, yang membawa kepada pemberhentian kerja secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia sejak 18 Mac lepas sebelum ini bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, telah dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 14 April.

“Bagi bulan ini kita menjangka penurunan 90 peratus dalam jumlah perolehan dan kita jangka perolehan dari bulan April sehingga Mei adalah sifar. Permohonan bantuan ini mungkin nampak “tidak munasbah”, namun kita sekarang beradala dalam situasi yang luar biasa,” tambahnya.

Beliau berkata beberapa negara sudah mulai melaksanakan inisiatif “pemberhentian kerja”, dengan negara-negara seperti United Kingdom dan Denmark menawarkan untuk membayar ganjaran sehingga 80 peratus gaji, manakala lain-lain negara yang turut melaksanakan strategi serupa termasuk Korea Selatan, Ireland dan Singapura.

Selain bantuan segera kerajaan, beliau turut menekankan intitusi kewangan juga perlu memainkan peranan dengan menyegerakan pinjaman khas, kerana ia dijamin 80 peratus oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada pihak di sektor pelancongan dan syarikat kecil dan sederhana, bagi membantu mereka untuk terus bertahan di waktu yang amat mencabar ini.

Berhubung intervensi oleh Bank Negara Malaysia yang meminta institusi kewangan memberikan moratorium bagi tempoh enam bulan akan datang, beliau berkata MATTA amat mengalu-alukan langkah itu.

Bagaimanapun menurutnya pihak bank perlu mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan bertindak lebih lagi, dengan membenarkan pengecualian faedah yang terakru terhadap pinjaman konvensional semasa tempoh moratorium. - Bernama

Berita Harian X