X
Khamis, 26 March 2020 | 4:54pm
Orang ramai membeli barangan keperluan makanan segera ekoran penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Pasar Raya Giant, Bangi. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Orang ramai membeli barangan keperluan makanan segera ekoran penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Pasar Raya Giant, Bangi. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Jualan runcit dijangka jatuh 90 peratus: MRA

KUALA LUMPUR: Industri runcit tempatan terjejas teruk dengan impak penularan COVID-19 dengan menyaksikan jualan jatuh 60 peratus pada Februari 2020, demikian kata Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).

Malah, persatuan itu menjangkakan jualan akan terus menyusut sebanyak 90 peratus pada Mac 2020 berikutan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan virus berkenaan yang lebih serius di negara ini.

Justeru, persatuan itu mengharapkan kerajaan akan tampil dengan pakej rangsangan tambahan yang mampu memulihkan semula ekonomi dan perniagaan dengan pantas.

Ia berkata, dengan COVID-19, penguncupan ekonomi susulan tindakan kerajaan di seluruh dunia akan mencetuskan masalah aliran tunai, yang mana jika tidak ditangani secepat mungkin akan memberi tekanan teruk kepada nilai aset, pendapatan dan penguncupan berterusan ekonomi.

"Beberapa peruncit dan kedai mungkin tidak akan dibuka semula selepas 14 April 2020 berikutan kekurangan sumber, dengan tiada pendapatan sepanjang tempoh PKP, tetapi terpaksa menanggung perbelanjaan yang perlu dilunaskan seperti sebahagian besarnya untuk pembayaran gaji, sewa dan caruman statutori.

"Justeru, akan ada pemberhentian kakitangan dan pembuangan pekerja. Jadi, aliran tunai sangat penting," katanya dalam satu kenyataan.

MRA berkata, perniagaan memerlukan pemulihan yang ketara apabila COVID-19 dapat ditangani dan sokongan kerajaan serta semua pihak amat diperlukan.

Ia berkata, kerajaan perlu menyokong perniagaan dan pekerja secara kewangan, dan pemilik pusat membeli-belah perlu memberikan sewa percuma ketika PKP dan beberapa rebat sewa selepas itu, supaya pemulihan pantas kerana struktur ekonomi seperti kecairan, perniagaan dan pekerjaan kekal utuh.

"Pemulihan pantas bermakna perniagaan boleh membayar balik pembiayaan dan sekiranya ekonomi tidak boleh pulih dengan cepat, jika syarikat mula gulung tikar dan pekerjaan akan hilang. Dalam senario ini, walaupun COVID-19 ditangani, pemulihan akan menjadi perlahan dan memeritkan," katanya.

Justeru, MRA merayu kepada kerajaan untuk menyokong perniagaan dan perlu kreatif dalam program sokongan.

“Kita memerlukan pakej rangsangan “steroid”. Kita boleh secara bersama mengatasi dan pulih semula dengan cepat,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X