Khamis, 26 March 2020 | 3:39pm
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada sidang media penularan COVID-19, di Rumah Putih 24 Mac 2020, di Washington, DC. (Gambar oleh MANDEL NGAN / AFP)
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada sidang media penularan COVID-19, di Rumah Putih 24 Mac 2020, di Washington, DC. (Gambar oleh MANDEL NGAN / AFP)

COVID-19: Senat AS lulus pakej rangsangan RM8.7 trilion

WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) sebulat suara menyokong pakej AS$2 trilion (RM8.7 trilion) bagi membantu pekerja dan industri menangani COVID-19, selain menyediakan berbilion dolar untuk membeli peralatan perubatan yang diperlukan segera.

Selepas rundingan, Senat yang dibahagikan beberapa kumpulan bersatu dan meluluskan rang undang-undang dengan sokongan undian 96-0, sekali gus membawa pakej rangsangan ke Dewan Rakyat untuk undian pada Jumaat.

Presiden, Donald Trump, berjanji untuk menandatangani undang-undang berkenaan sebaik sampai ke mejanya.

“Saya akan tandatangan dengan segera,” kata Trump kepada media.

Pakej menyelamat menjadi yang terbesar dalam sejarah diluluskan Kongres termasuk dana AS$500 bilion (RM2.18 bilion) untuk membantu industri terjejas teruk dan jumlah setanding bagi pembayaran terus sehingga AS$3,000 (RM13,081) sekeluarga bagi jutaan keluarga rakyat AS..

Rundingan itu turut menyediakan AS$350 bilion (RM1.526 trilion) bagi pinjaman perniagaan kecil, AS$250 bilion (RM1.09 trilion) untuk bantuan pengangguran dan sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM436.2 bilion) untuk hospital dan sistem kesihatan berkaitan.

Pakej itu juga bertujuan untuk meningkatkan kecairan ekonomi dalam usaha membendung wabak yang sudah membunuh 900 rakyat AS dan menjangkiti sekurang-kurangnya 60,000 orang.

Penyokong utama Trump dari kedua-dua pihak mengumumkan mereka bersetuju dengan rang undang-undang rangsangan yang belum pernah berlaku dalam sejarah pada awal Rabu selepas lima hari rundingan.

Namun, ia tertangguh oleh kritikan kedua-dua belah pihak yang menolak undian akhir hampir sepanjang hari.

Beberapa senator Republikan menegaskan rang undang-undang itu perlu ditukar untuk memastikan bahawa pekerja yang diberhentikan tidak akan dibayar lebih tinggi daripada manfaat pengangguran berbanding yang diperoleh ketika bekerja.

Bagaimanapun, pindaan yang akan mengubah peruntukan pengangguran itu gagal sebelum Senat meluluskan langkah itu.

Bagaimanapun, pemimpin Dewan Rakyat berharap rang undang-undang itu diluluskan dengan undian suara pada Jumaat, tanpa wakil perlu kembali ke Washington.

Speaker Dewan Rakyat, Nancy Pelosi, berkata beliau berharap rang undang-undang itu diluluskan secepat mungkin dan Kongres itu akan meluluskan undang-undang lanjut jika perlu untuk meringankan krisis di masa depan.

Gabenor New York, Andrew Cuomo mengkritik rang undang-undang itu dengan berkata peruntukan AS$3.8 bilion (RM16.6 bilion) kepada negerinya tidak dapat menampung hasil cukai yang tidak dapat dikutip susulan pengurangan aktiviti ekonomi.

New York menyumbang kira-kira separuh daripada kes COVID-19 di AS.

Pelosi menyatakan simpati, namun mahu pakej menyelamat itu diteruskan.

“Kami (Kongres) melakukan apa yang diperlukan, namun tiada sebab untuk menghentikan langkah ini,” katanya kepada CNN.

- Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X