Jumaat, 20 March 2020 | 1:10pm
BANK Negara Malaysia
BANK Negara Malaysia

BNM dijangka turunkan lagi kadar faedah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengurangkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 50 mata asas menjadikan kadar faedah turun kepada 2.0 peratus berbanding 2.50 peratus ketika ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Standard Chartered nota penyelidikan globalnya menjelaskan, pengurangan kadar rujukan pinjaman itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu masing-masing pemotongan 25 mata asas pada bulan Mei dan Julai ini.

“Memandangkan penyebaran COVID-19 semakin meluas, kami menjangkakan BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 bps pada Mei dan Julai ini.

“Ini akan menjadikan kadar faedah kepada 2.0 peratus, menyamai kadar rendah ketika tempoh krisis kewangan global berlaku.

“Kenyataan dasar monetari terakhir bulan ini kelihatan lebih seimbang, menunjukkan bahawa bank pusat terbuka untuk melonggarkan lebih banyak kadar faedah, tetapi bergantung dengan keadaan,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada awal bulan ini memutuskan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia pengurangan kali kedua tahun ini.

Mengulas lanjut Standard Chartered berkata, sejak mesyuarat MPC terakhir, keadaan COVID-19 semakin memburuk di seluruh dunia.

Selain sentimen permintaan, langkah-langkah pembendungan global dan tempatan boleh menyebabkan gangguan permintaan dan bekalan.

Di samping itu katanya, kejatuhan harga minyak global yang mendadak akan menekan tekanan inflasi.

Kejatuhan harga minyak juga boleh menjejaskan pertumbuhan secara negatif dengan Malaysia mengeksport minyak, gas asli dan minyak sawit selain komoditi lain.

“Kami menganggarkan sektor berkaitan minyak menyumbang 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Kejatuhan mendadak harga minyak juga mungkin menjejaskan harga komoditi lain.

“Ekonomi Malaysia adalah pelbagai. Sebagai contoh, eksport komoditi hanya menyumbang 22 peratus daripada jumlah eksport tahun lalu. Risiko daripada unjuran kami ini, termasuk BNM bertindak dengan lebih cepat (seperti mengadakan mesyuarat) dan lebih agresif dengan potongan 50 mata asas pada keputusan seterusnya.

“Walaupun mengakui risiko ini, kami berpendapat bahawa agregat kadar pemotongan 50 bps pada suku pertama tahun ini telah menyediakan beberapa ruang dasar monetari untuk bertindak balas dengan cara yang lebih tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Standard Chartered turut menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia untuk tahun ini kepada 2.5 peratus daripada 4.2 peratus bagi mencerminkan permintaan luar dan dalam yang terjejas terus daripada penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X