Rabu, 11 March 2020 | 7:19pm
Ahli Ekonomi OCBC Bank (Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan Global), Wellian Wiranto.
Ahli Ekonomi OCBC Bank (Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan Global), Wellian Wiranto.

Belanjawan 2020 dijangka disemak semula - OCBC

KUALA LUMPUR: Kejatuhan mendadak harga minyak dunia didorong oleh kekurangan permintaan dan pertikaian dalam kalangan OPEC+ mengenai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran, dijangka membawa kepada pengubahsuaian Belanjawan 2020 Malaysia.

Ahli Ekonomi OCBC Bank (Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan Global), Wellian Wiranto, berkata terdapat kemungkinan yang besar perkara itu berlaku berdasarkan keadaan dunia dan domestik yang cepat berubah.

“Harga minyak, misalnya, merosot dengan ketara pada minggu lepas. Berdasarkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan, ia akan memberi impak yang besar kepada jumlah perbelanjaan.

“Dengan momentum pertumbuhan yang lembap, keperluan untuk mencari cara bagi merangsang ekonomi turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata kekurangan ruang fiskal akan bermakna kerajaan mungkin perlu mengutamakan semula perbelanjaan, dan mungkin menangguhkan beberapa projek besar buat masa ini jika ia mahu mengekalkan defisit fiskal terkawal.

Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mengandaikan pendapatan sebanyak RM50.5 bilion daripada sektor minyak dan gas, yang terdiri daripada 20.7 peratus daripada jumlah pendapatan.

Beliau berkata, walaupun andaian purata harga minyak AS$62 setong pada masa itu adalah realistik, ia ternyata amat kurang sekarang, dengan Brent merosot di bawah AS$30 setong pada satu ketika selepas langkah mengejutkan oleh Arab Saudi untuk meningkatkan pengeluaran bagi bahagian pasaran pada hujung minggu.

“Berdasarkan pengiraan kami, bagi setiap dolar yang bergerak bagi harga Brent setong, pendapatan petroleum daripada royalti petroleum dan cukai pendapatan yang lebih anjal (iaitu, tidak termasuk dividen) akan berubah sebanyak AS$140 juta atau sekitar RM590 juta mengikut kadar pertukaran semasa,” katanya.

Dalam senario di mana harga minyak kekal pada paras rendah sepanjang tahun dan menarik purata 2020 merosot kepada ASS$32 setong, iaitu AS$30 lebih rendah daripada andaian belanjawan, akan membawa kepada penurunan hasil minyak sebanyak AS$4.2 bilion.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata analisisnya menunjukkan penurunan harga purata tahunan minyak mentah sebanyak AS$10 setong akan mengurangkan pendapatan tahunan kerajaan berkaitan minyak sebanyak RM7 bilion, meningkatkan defisit belanjawan kepada nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.45 mata peratusan dan mengurangkan lebihan akaun semasa sebanyak 0.15 mata peratusan.

Firma penyelidikan itu berkata Belanjawan 2016, apabila minyak mentah Brent jatuh kepada AS$26 setong pada 20 Januari 2016, dilakukan pengubahsuaian melalui pengurangan perbelanjaan sebanyak RM8 bilion hingga RM9.5 bilion untuk mengekalkan defisit belanjawan kepada sasaran nisbah KDNK sebanyak 3.1 peratus berikutan pendapatan dianggarkan merosot sebanyak RM7.8 bilion hingga RM9.4 bilion.

Pengubahsuaian belanjawan pada 2016 dilakukan berikutan semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK sebenar 2016 kepada 4.0 hingga 4.5 peratus daripada 4.0 hingga 5.0 peratus sebelum ini, dan kemerosotan andaian purata harga minyak mentah kepada AS$30 hingga AS$35 setong daripada AS$48 setong.

“Pertumbuhan ekonomi sebenar, purata harga minyak mentah dan defisit belanjawan kepada nisbah KDNK pada tahun itu sebanyak 4.4 peratus, AS$44 setong dan 3.1 peratus,” katanya. - Bernama

Berita Harian X