Selasa, 10 March 2020 | 4:48pm
Negara bakal kehilangan pendapatan minyak sebanyak RM8.1 bilion jika harga minyak global kekal rendah ekoran perang harga antara Arab Saudi dan Russia.
Negara bakal kehilangan pendapatan minyak sebanyak RM8.1 bilion jika harga minyak global kekal rendah ekoran perang harga antara Arab Saudi dan Russia.

Negara kehilangan pendapatan minyak RM8.1 bilion

KUALA LUMPUR: Negara bakal kehilangan pendapatan minyak sebanyak RM8.1 bilion jika harga minyak global kekal rendah ekoran perang harga antara Arab Saudi dan Russia.

Kejatuhan harga minyak ke paras kira-kira AS$35 setong juga menyukarkan Malaysia mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus yang ditetapkan pada tahun ini, demikian kata AmBank Research.

Ketua Ahli Ekonominya, Dr Anthony Dass, berkata dengan harga sesama adalah kira-kira AS$27 lebih rendah berbanding harga purata minyak mentah yang disandarkan dalam Belanjawan 2020 iaitu AS$62 setong.

“Berdasarkan perkiraan itu, pada harga minyak mentah semasa, ia akan mengurangkan pendapatan minyak (negara) sebanyak RM8.1 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan berkenaan.

Perkiraan itu, katanya, berdasarkan pandangan bahawa setiap kemerosotan AS$1 setong harga minyak, ia akan mengurangkan pendapatan minyak sebanyak RM300 juta.

Oleh demikian, pendapatan minyak dijangka berkurangan dari unjuran Belanjawan 2020 sebanyak RM50.6 bilion kepada RM42.5 bilion.

“Dengan mengandaikan jumlah pendapatan jatuh kepada RM236.4 bilion berikutan sumbangan pendapatan minyak rendah, dan tidak ada perubahan jumlah perbelanjaan yang mana berjumlah RM296.2 bilion, maka defisit fiskal bagi 2020 akan mencapai 3.8 peratus daripada unjuran baharu 3.4 peratus, berikutan pengenalan pakej rangsangan fiskal,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Bagaimanapun, Anthony berkata, jika kejatuhan dalam harga minyak menyebabkan pengurangan subsidi bahan api dengan jangkaan RM6 bilion, yang mana seharusnya memberi keselesaan kepada kedudukan defisit fiskal.

Beliau berkata, penurunan pendapatan berikutan kerugian dalam pendapatan minyak, ditambah dengan perbelanjaan yang lebih rendah berikutan tidak ada subsidi minyak, akan mengakibatkan defisit fiskal tinggi sedikit sekitar 3.6 peratus daripada KDNK berbanding unjuran semasa 3.4 peratus daripada KDNK.

Anthony berkata, risiko untuk harga minyak jatuh di bawah AS$30 setong kekal tinggi dengan kemungkinan ia boleh jatuh ke paras serendah antara AS$20 hingga AS$25 setong.

Beliau berkata, sekiranya harga minyak jatuh ke paras serendah itu, kerugian tambahan dalam pendapatan minyak akan berlegar sekitar RM11.1 bilion hingga RM12.6 bilion.

Situasi itu akan memberi tekanan yang meningkat terhadap defisit fiskal, dengan melepasi paras 4.0 peratus daripada KDNK.

Mengenai cabaran terhadap dasar monetari, Anthony berkata, dengan ringgit lebih kepada kadar tukaran yang lebih fleksibel, sebarang pelonggaran kadar dasar akan memberi tekanan tambahan kepada ringgit untuk terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kerana mata wang tempatan itu terkesan oleh pergerakan harga minyak.

Selain itu, beliau berkata, nilai ringgit yang lebih rendah berikutan harga minyak yang lemah serta pelonggaran berterusan monetari akan berpotensi memberi tekanan inflasi yang dipacu kos import yang tinggi.

Berita Harian X