Isnin, 9 March 2020 | 5:22pm

Harga minyak jatuh: Kerajaan mungkin perlu semak semula belanjawan

KUALA LUMUR: Kejatuhan mendadak harga minyak dunia ekoran perang harga di antara pengeluar utama iaitu Arab Saudi dan Russia akan memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif kepada negara, demikian mengikut MIDF Research.

Ini kerana Malaysia adalah antara negara pengeksport minyak dan gas utama dunia.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya turut menjangkakan yang kerajaan baharu kali ini berkemungkinan besar terpaksa menyemak semula Belanjawan 2020 susulan kejatuhan ketara harga komoditi berkenaan.

Katanya, penyusutan harga minyak dunia akan memberi tekanan kepada kapasiti fiskal Malaysia memandangkan Belanjawan 2020 sebelum ini dirangka berdasarkan andaian harga minyak dunia ialah AS$62 setong.

Pada petang semalam, penanda aras minyak mentah, kontrak hadapan Brent penghantaran Mei turun 28.69 peratus kepada AS$32.28 setong.

“Susulan daripada itu, kerajaan dijangka akan menyemak semula belanjawan yang dibuat sebelum ini dan boleh dilihat mungkin akan berlaku pengurangan dalam perbelanjaan dan pelaburan kerajaan.

“Dari sudut positif pula, harga runcit minyak terutama RON95 mungkin akan turun sehingga RM1.32 seliter jika purata harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$35 setong.

“Ia juga akan memberi tekanan kepada inflasi untuk kekal rendah dan mampu menyokong penggunaan domestik,” katanya.

Bagi sektor perlombongan, MIDF Research berkata, pihaknya berpandangan yang sektor terbabit akan terus memperlahan di tengah-tengah permintaan yang lemah dan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

"Pertumbuhan perlahan di dalam sektor perlombongan akan menjejaskan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dengan ketara disebabkan oleh kandungan nilai tambahnya yang tinggi.

"Pada tahap ini kami menjangkakan yang pertumbuhan KDNK akan berada di bawah tekanan pada tahun 2020," katanya.

Sementara itu OCBC Treasury Research dalam nota penyelidikannya berkata, harga minyak mentah dunia berpotensi menjunam ke pasar AS$30 setong jika kemelut OPEC + tidak berakhir.

Bahagian penyelidikan OCBC itu berkata, berikutan kegagalan mencapai persetujuan mengenai pengeluaran antara Russia dan OPEC pada Jumaat lalu, harga minyak mentah dunia dijangka kekal rendah dalam jangka pendek.

“Russia mempunyai kos marginal pengeluaran minyak yang lebih rendah daripada Arab Saudi, iaitu kos fiskal pulang modal AS$42 setong, setengah lebih rendah daripada AS$83 setong oleh Arab Saudi.

“Ini telah membolehkan Russia mengalahkan Arab Saudi pada perlawanannya sendiri, walaupun disokong kuat oleh anggota OPEC untuk melaksanakan pengurangan pengeluaran pada mesyuarat OPEC + pada Jumaat lalu,” katanya.

Kos fiskal pulang modal adalah harga minimum minyak mentah setong yang diperlukan sesebuah negara untuk memenuhi keperluan perbelanjaan negara atau belanjawannya.

Sementara itu, kos purata pengeluaran di OPEC ialah kira-kira AS$30 setong, yang dijangka harga Brent akan jatuh ke paras berkenaan dalam jangka pendek, katanya.

Russia keluar daripada menjadi sekutu rapat OPEC dengan memotong pengeluaran minyak selepas OPEC + mengadakan pertemuan pada Februari dalam mesyuarat kecemasan untuk membincangkan pemotongan pengeluaran disebabkan penularan COVID-19.

Berita Harian X