Khamis, 5 March 2020 | 1:34pm

Nisbah pinjaman tidak berbayar bank dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: S&P Global Ratings menjangkakan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) bank Malaysia lebih tinggi, manakala pertumbuhan kredit lebih perlahan di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar.

Agensi penarafan itu dalam kenyataannya berkata, bank tempatan berdepan gelombang ketidaktentuan berbanding kedudukan kukuh sebelum ini, yang disokong oleh prestasi mantap pada 2019.

Penganalisis kreditnya, Nancy Duan, berkata penularan COVID-19 dan ketidaktentuan politik domestik baharu menambah halangan kepada bank-bank tempatan, yang telah pun berdepan kesan ekonomi perlahan serta kelemahan sentimen pengguna dan pelabur sejak setahun lalu.

“Kami menyemak turun unjuran pertumbuhan kredit bagi bank tempatan kepada 1.0 hingga 3.0 peratus pada 2020, berbanding 3.0 hingga 5.0 peratus sebelumnya.

“Kami menjangkakan NPL mencecah 1.7 hingga 1.8 peratus daripada baki pinjaman tahun ini, berbanding 1.5 peratus setakat 31 Disember 2019,” katanya.

Duan berkata, unjuran terbabit adalah bersandarkan kepada anggapan bahawa penularan COVID-19 akan berkurangan dan kestabilan politik domestik boleh dipulihkan dalam beberapa bulan akan datang.

“Kami perlu menyemak semula angka ini jika risiko berkenaan berlarutan sehingga ke suku kedua 2020.

“Pada pandangan kami, langkah pelepasan pinjaman yang diumumkan kerajaan baru-baru ini boleh memberikan sedikit kelegaan kepada sektor yang paling terkesan oleh penularan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata S&P menjangkakan potensi pelonggaran dasar berikutnya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan ekonomi, menyebabkan pengukuhan margin faedah bersih antara lima hingga 10 mata asas lagi bank tempatan tahun ini.

“Kes asas kami adalah bersandarkan nisbah kecukupan modal yang stabil. Namun, risikonya kini cenderung ke arah penurunan, berikutan keuntungan dan bayaran dividen tinggi diumumkan oleh beberapa bank minggu lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, S&P, katanya menjangkakan impak neutral pakej rangsangan RM20 bilion yang dilancarkan minggu lalu kepada bank tempatan.

Beliau berkata, sebelum pakej rangsangan kerajaan diumumkan, bank tempatan telah pun melaksanakan program masing-masing untuk membantu mengurangkan beban peminjam korporat.

Berita Harian X