X
Rabu, 4 March 2020 | 8:17pm
MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

OPR dijangka turun lagi Mei ini

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan memberi reaksi berbeza terhadap sektor perbankan susulan pengumuman langkah pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus semalam, selain turut menjangkakan penurunan seterusnya pada Mei depan.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd yang mengekalkan saranan positif terhadap sektor perbankan, berkata pengurangan seterusnya OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sudah dijangkakan, namun bank-bank masih terus dinilai secara rendah.

“Bank-bank ini mungkin telah menjangkakan pengurangan kadar faedah itu dan telah mengambil langkah-langkah awal. Ada kemungkinan bank-bank ini tidak dapat mengumpul deposit tetap berikutan pelaksanaan langkah penurunan kedua OPR bagi tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tekanan margin faedah bersih juga wujud dan sebarang normalisasi akan memakan masa lebih lama (sebanyak dua suku) berbanding jangkaan awal.

“Pertumbuhan pendapatan tanpa faedah menerusi aktiviti perbendaharaan misalnya akan dapat menyederhanakan impak berkenaan," katanya.

MIDF turut menyifatkan pengurangan 50 mata asas oleh pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) secara mengejut kepada lingkungan 1.0-1.25 peratus, hanya memberi gambaran tahun yang sukar selepas ini.

Langkah itu juga dilihat sebagai tindakan berani dalam usaha melindungi ekonomi Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan mengenai kesan penularan COVID-19.

Bank pelaburan itu berkata, sektor luaran ekonomi AS juga dijangka terus lemah pada 2020.

“Oleh itu, permintaan domestik terutama perbelanjaan isi rumah dan pelaburan perniagaan wajar berkembang secara lancar bagi memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 2.0 peratus.

“Memandangkan lebih banyak cabaran dijangkakan timbul, khususnya membabitkan COVID-19, kami menjangkakan pihak Fed akan melaksanakan sekurang-kurangnya dua lagi penurunan kadar faedah pada tahun ini iaitu masing-masing potongan sebanyak 25 mata asas,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) yang mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu, juga mengunjurkan BNM akan melaksanakan satu lagi pengurangan OPR pada mesyuarat Dasar Monetari yang dijadualkan pada 4 hingga 5 Mei 2020.

“Ini akan menjadikan OPR turun kepada 2.25 peratus. Susulan itu, kami mengurangkan (unjuran) pendapatan tahun kewangan 2020 dan 2021 masing-masing sebanyak 2.0 peratus dan 1.0 peratus. Malah, pada masa ini, kami menjangkakan agregat teras keuntungan bersih untuk bank-bank akan berkembang hanya 0.4 peratus berbanding 2.0 peratus pada 2019,” kata Maybank IB.

Menurutnya, secara positif, ini akan menghasilkan pulangan dividen lebih 5.0 peratus yang diharapkan dapat menyuntik sokongan.

Harga sasaran Maybank IB bagi bank-bank adalah rendah namun mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham-saham Hong Leong Bank, RHB Bank, AMMB Holdings dan BIMB Holdings.

-BERNAMA

Berita Harian X