Rabu, 19 Februari 2020 | 3:39pm
MENTERI Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.
MENTERI Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.

Indonesia cadang cukai minuman bergula, beg plastik

JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati mencadangkan duti baharu ke atas minuman bergula, beg plastik dan kenderaan yang melepaskan karbon dioksida, bagi mengawal penggunaan produk sedemikian di republik itu.

Cadangan itu dibuat berikutan kutipan cukai yang rendah selepas ekonominya pada 2019 berkembang paling perlahan dalam tempoh tiga tahun.

Indonesia kekurangan hasil hampir AS$15 bilion (RM62.4 bilion) tahun lalu disebabkan keuntungan lemah syarikat dan penurunan eksport.

Cadangan itu adalah untuk mengenakan levi cukai eksais daripada 1,500 rupiah (45 sen) hingga 2,500 rupiah (75 sen) seliter ke atas minuman bergula seperti teh, kopi, minuman ringan berkarbonat dan minuman tenaga, katanya kepada Suruhanjaya Kewangan Parlimen.

Sasarannya adalah untuk mengurangkan pengambilan minuman bergula, kata Indrawati, yang berkata tahap diabetes dan obesiti meningkat sejak sedekad lalu.

Kira-kira dua peratus rakyat negara itu berusia 15 tahun ke atas menghidap diabetes pada 2018, meningkat daripada 1.1 peratus pada 2007, manakala jumlah penduduk dewasa yang obesiti melonjak daripada 10.5 peratus pada 2007 kepada 21.8 peratus pada 2018.

Indrawati turut membangkitkan semula cadangannya tiga tahun lalu untuk mengenakan cukai eksais 200 rupiah (lima sen) bagi setiap beg plastik, yang belum diluluskan Parlimen.

Levi itu, walaupun kecil, boleh mengurangkan separuh penggunaan beg plastik negara itu kepada 53,533 tan setahun, tegasnya.

Kerajaan juga mahu mengenakan duti ke atas kenderaan baharu yang melepaskan karbon dioksida, sebahagian daripada usahanya untuk mengawal pencemaran, kata Indrawati.

Tarif bergantung kepada tahap pelepasan dan aspek lain, katanya tanpa memberikan butiran terperinci.

-Reuters

Berita Harian X