Rabu, 19 Februari 2020 | 2:50pm

Draf hala tuju APEC pasca 2020 siap Ogos ini

PUTRAJAYA: Kenyataan draf lengkap hala tuju Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pasca 2020 dijangka akan dapat disiapkan Ogos ini, sebelum dibentangkan kepada menteri dan pemimpin anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akhir tahun ini.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, berkata kenyataan yang akan dibentangkan kepada menteri dan pemimpin APEC nanti adalah draf yang benar-benar komprehensif, inklusif dan mempunyai semua elemen yang akan menjadi hala tuju buat APEC pasca 2020.

Beliau yang juga adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, draf itu akan menjadikan laporan daripada kumpulan wawasan APEC (AVG) yang dihasilkan oleh pihak berkepentingan utama daripada semua 21 ekonomi dua tahun lalu, sebagai asas perbincangan.

“Saya sedang menumpukan persediaan kenyataan berdasarkan laporan AVG, yang juga dokumen teras untuk kerja kami, serta cadangan daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) kepada menteri-menteri mengenai perkara yang perlu dimasukkan di dalam draf ini.

“Justeru, saya sedang mengumpulkan semua laporan, cadangan dan pandangan serta input daripada dialog pemegang taruh bagi memastikan kenyataan yang mahu dibentangkan kepada pemimpin adalah benar-benr komprehensif, inklusif dan mempunyai semua elemen yang akan menjadi hala tuju buat APEC pasca 2020,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hairil berkata, perkara utama yang dijangka akan dimasukkan di dalam draf itu ialah elemen keterangkuman dan kemampanan selain keperluan meneruskan tiga tonggak APEC iaitu liberalisasi pelaburan dan perdagangan, bantuan perniagaan dan teknologi eko.

“Saya fikir tiga tongak APEC ini perlu diteruskan kerana inilah APEC yang sebenar. Menuju ke hadapan, tedapat isu yang turut perlu diberi perhatian seperti kerangkuman dan kemampanan.

“Kami masih di peringkat awal buat masa ini dan berharap pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) 2 atau SOM 3 di Pulau Pinang pada Ogos ini, kami sudah dapat menghasilkan draf yang lengkap untuk dibentangkan kepada pemimpin APEC,” katanya.

Matlamat Bogor yang akan tamat akhir tahun ini mula dilaksanakan pada 1994 bertujuan menjadikan pelaburan dan perdagangan di rantau Asia Pasifik sebagai bebas dan terbuka.

Sejak dilaksanakan, negara APEC meraih banyak manfaat dengan peningkatan penguasaan jumlah perdagangan dunia kepada lebih empat kali ganda, yang kini menghampiri 50 peratus.

Selain itu, APEC juga telah mengalami pengurangan purata tarif, pengurangan kos dan tempoh untuk berdagang dan pelaksanaan langkah untuk menarik pelaburan langsung asing.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Seri Norazman Ayob, berkata negara APEC menghadapi pelbagai cabaran hari ini berbanding semasa penubuhannya pada 1989 dengan ‘ketidaktentuan’ muncul sebagai norma baharu.

Beliau berkata, negara APEC perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dalam menghadapi ketidaktentuan global semasa.

“Proses globalisasi yang biasa ditakrifkan oleh kekaburan yang dibawa oleh nasionalisme ekonomi yang meningkat, ketidakpastian dasar dan penggunaan digital yang pesat di mana APEC perlu ditambah baik dengan agenda sekarang dan akan datang,” katanya dalam ucapan pada Dialog Pelbagai Pihak Berkepentingan mengenai Wawasan Pasca 2020.

Berita Harian X