Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:48pm

Industri pelancongan global mula terkesan

NEW YORK: Impak COVID-19 (coronavirus) ke atas industri pelancongan global meningkat dengan lebih pantas, walaupun penularannya dilihat perlahan awal minggu ini.

Impaknya dirasai merentas Asia, yang mana perniagaan pengembaraan dan hiburan menyumbang AS$884 bilion (RM3.66 trilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017, menurut data yang dikumpulkan oleh Lembaga Pengembaraaan dan Pelancongan Dunia.

Bagi China, pelancongan ke dalam negara membawa masuk AS$127.3 bilion (RM527.16 bilion) pada 2019, menurut biro pelancongan negara itu.

Namun, apabila penularan semakin meningkat, ejen perjalanan, pengendali, dan pengusaha hotel berdepan gangguan ekonomi daripada wabak ini sekurang-kurangnya berbulan-bulan lamanya, jika tidak setahun, dengan kesan jangka panjang mungkin berlarutan sehingga 2021.

“Jumlah pembatalan perjalanan - bukan hanya membabitkan ke China tetapi juga ke seluruh benua Asia - semakin meningkat setiap hari,” kata pengasas dan rakan pengurusan agensi pelancongan mewah Embark Beyond, Jack Ezon.

Setakat ini, hampir 75 peratus pelanggannya telah membatalkan perjalanan untuk Februari dan Mac ke negara-negara Asia Tenggara, yang dianggap masih berisiko rendah iaitu pada tahap satu, oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

“Mereka bimbang untuk berada di mana-mana tempat yang dekat dengan wabak itu,” katanya.

Semua tempahan bulan madu yang ditempah agensinya di rantau berkenaan dibatalkan dan ditukar ke destinasi lain termasuk Maldives, Afrika Selatan dan Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hilton, Chris Nassetta memberitahu pelabur pada 11 Februari lalu, beliau menjangkakan impak virus itu kekal antara enam hingga 12 bulan.

“Tiga hingga enam bulan membabitkan penyebaran dan impak daripada penularan itu dan tiga hingga enam bulan lagi bagi pemulihan,” katanya yang menganggarkan kos kerugian terhadap syarikatnya dari AS$25 juta (RM103.53 juta) hingga AS$50 juta (RM207 juta).

-Bloomberg

Berita Harian X