Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:46pm

Import sawit India susut 19.8 peratus pada Januari

NEW DELHI: India mencatatkan penurunan sebanyak 19.8 peratus dalam import minyak sawit pada Januari 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Ia menyebabkan penambahan penggunaan yang lebih tinggi minyak makan yang lain.

Import dari Malaysia merangkumi 125,735 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 10,484 tan RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) dalam jumlah dagangan minyak sawit sebanyak 594,804 tan, menurut perangkaan daripada kumpulan perdagangan Solvent Extractos’ Association of India (SEA) pada kelmarin.

Bahagian minyak sawit merangkumi 51 peratus daripada jumlah import minyak makan Januari iaitu sebanyak 1.15 juta tan.

India mengimport 741,490 tan minyak sawit, termasuk 110,562 tan dari Malaysia, pada Disember, yang mana 67 peratus daripada keseluruhan import minyak yang boleh dimakan.

Kerajaan India pada 8 Januari meletakkan minyak sawit yang ditapis di bawah senarai barangan yang ‘dihadkan’, yang mana, ia mewajibkan pengimport untuk mendapatkan permit sebelum membuat pesanan.

Menurut SEA, Direktorat Awam Perdagangan Luar Negara (DGFT) Kementerian Perdagangan India telah mengeluarkan lesen untuk mengimport 88,000 tan olein sawit yang ditapis dari Nepal dengan duti sifar di bawah Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asia Selatan (SAFTA).

Nepal tidak menghasilkan minyak sawit tetapi ia membeli daripada pengeluar utama dunia iaitu Indonesia dan Malaysia, ia kemudian menjual produk yang ditapis ke India dengan membuat penambahan nilai seperti yang dituntut oleh peraturan SAFTA. – Bernama

Berita Harian X