Khamis, 13 Februari 2020 | 6:51pm
Pakej rangsangan ekonomi dan penurunan ketara import negara adalah dua faktor utama yang akan menjadi timbal balas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini, kata penganalisis. - Foto hiasan
Pakej rangsangan ekonomi dan penurunan ketara import negara adalah dua faktor utama yang akan menjadi timbal balas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini, kata penganalisis. - Foto hiasan

Pakej rangsangan, kejatuhan import sokong pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi dan penurunan ketara import negara adalah dua faktor utama yang akan menjadi timbal balas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini, kata penganalisis.

Dalam pada itu, meskipun mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar lebih perlahan pada suku keempat 2019 iaitu 3.6 peratus dan 4.3 peratus pada keseluruhan 2019, namun penganalisis menjangka, ia tidak akan menjejaskan penarafan negara kerana pertumbuhan KDNK nominal (yang mengambil kira kadar inflasi) pada suku keempat masih mantap iaitu pada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku ketiga 2019.

AmInvestment Bank Research (AmResearch) dalam nota penyelidikannya berkata, KDNK nominal yang lebih kukuh akan membantu mengurangkan risiko penurunan penarafan oleh agensi penarafan asing.

“Ia akan mengurangkan tekanan ke atas pencapaian sasaran pengurangan defisit fiskal, hutang awam serta mengekang peningkatan hutang isi rumah,” kata AmResearch.

Fitch Solutions Macro Research pula berkata, langkah kerajaan untuk melaksanakan pakej rangsangan berikutan COVID-19 dijangka akan memberi sokongan kepada sektor terjejas seperti pelancongan, sekali gus menyokong ekonomi dari segi perbelanjaan swasta.

“Menerusi kenyataan yang diberikan oleh Menteri Kabinet utama seperti Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan dijangka membantu sektor berkaitan pelancongan, menyokong perbelanjaan dalam negara dan menolong syarikat yang berdepan isu aliran tunai.

“Ini akan mengurangkan impak daripada penggunaan swasta yang dijangka terjejas akibat penurunan kehadiran pelancong asing terutama dari China dan Singapura,” katanya.

Mengenai faktor yang mengekang pertumbuhan pada suku keempat tahun lalu iaitu penurunan eksport pertanian, perlombongan serta perkilangan, Fitch Solutions berkata, ia akan diimbangi dengan penyusutan ketara import ekoran persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan.

“Unjuran pelaburan yang lebih malap akan menyaksikan pengurangan keperluan modal import, sekali gus meningkatkan eksport bersih.

“Sememangnya, penurunan 8.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) dalam modal import pada suku keempat 2019 berkemungkinan berupaya mencegah imbangan dagangan menjadi lebih teruk seterusnya mengheret pertumbuhan jatuh lebih banyak,” katanya.

Penyedia penyelesaian pintar makro dan kredit itu turut menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia dari 4.5 peratus sebelum ini kepada 3.7 peratus.

Selain daripada pengenalan pakej rangsangan dari pihak kerajaan, Bank Negara Malaysia pula boleh melonggarkan dasar monetari dengan menurunkan kadar faedah bagi mengurangkan kos perniagaan.

JP Morgan dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya menjangka bank pusat akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus pada suku kedua tahun ini, bagi merangsang pertumbuhan.

Bank pelaburan antarabangsa itu, mengunjur KDNK Malaysia pada 3.9 peratus untuk tahun ini, selepas mengambil kira faktor semasa.

Dalam pada itu, beberapa bank pelaburan tempatan turut menurunkan unjuran mereka bagi pertumbuhan KDNK negara tahun ini kepada antara 4.0 hingga 4.4 peratus berikutan penularan virus berkenaan.

Maybank Investment Bank Research dalam nota penyelidikannya, semakan semula itu adalah untuk mencerminkan kesan penularan COVID-19 ke atas ekonomi China dan impak terhadap sektor dan industri berkaitan pelancongan serta perjalanan serantau, rantaian bekalan global dan aktiviti perdagangan dunia.

RHB Research, yang menurunkan unjuran pertumbuhannya kepada 4.0 peratus daripada 4.3 peratus sebelumnya berkata, penularan virus itu mungkin bukan sahaja mengurangkan kedatangan pelancong tetapi juga membawa kepada gangguan bekalan di China dan kesannya ke seluruh dunia.

Ambank Research turut berpandangan yang sama bahawa pertumbuhan tahun ini akan menyusut disebabkan oleh COVID-19 dengan unjuran sekitar 4.0 peratus pada 2020.

Berita Harian X