Khamis, 13 Februari 2020 | 3:10pm
Pengarah Kanan Jabatan Dasar dan Ekonomi Bank of Thailand, Don Nakornthab.
Pengarah Kanan Jabatan Dasar dan Ekonomi Bank of Thailand, Don Nakornthab.

Ekonomi Thailand diunjur tumbuh kurang dua peratus

BANGKOK: Ekonomi Thailand dijangka berkembang kurang daripada dua peratus tahun ini, manakala eksport dijangka menguncup, khususnya daripada impak penularan COVID-19 (coronavirus), kata seorang pegawai kanan bank pusatnya.

Penularan itu menjejaskan teruk pasaran pelancongan Thailand dan eksport negara itu ke China turut terkesan, kata Pengarah Kanan Jabatan Dasar dan Ekonomi Bank of Thailand, Don Nakornthab, dalam satu seminar perniagaan.

“Tahun ini, pertumbuhan kurang dua peratus adalah satu kemungkinan.

Suku pertama akan menjadi paling lemah tahun ini, dengan pertumbuhan berkemungkinan berada di bawah satu peratus,” katanya.

Bank pusat sebelum ini berkata unjuran pertumbuhan 2.8 peratus untuk tahun ini akan tersasar.

Ia akan menyemak semula unjuran ekonomi bulan depan.

Bagi suku terakhir 2019, pertumbuhan tahunan dianggarkan antara 2.0 hingga 2.2 peratus.

Data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijadualkan Isnin depan.

Kementerian Pelancongan menjangkakan penularan virus akan mengurangkan jumlah pelancong seramai lima juta orang tahun ini, menyebabkan kerugian sebanyak 250 bilion baht (RM33.2 bilion), atau 1.5 peratus daripada KDNK, kata Don.

Lembaga Pelancongan Thailand sebelum itu meramalkan penurunan dua juta pelancong dari China, sumber terbesar pelancong ke negara itu, tahun ini.

-Reuters

Berita Harian X