Khamis, 13 Februari 2020 | 2:43pm
KIRA-KIRA 21.4 peratus pewujudan jawatan baru ialah dalam sektor pembinaan. Foto - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
KIRA-KIRA 21.4 peratus pewujudan jawatan baru ialah dalam sektor pembinaan. Foto - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Hampir 200,000 jawatan sektor swasta belum terisi

Kuala Lumpur: Sebanyak 198,000 kekosongan jawatan di sektor swasta masih belum diisi setakat akhir tahun lalu.

Laporan statistik guna tenaga pada suku keempat 2019 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini, merekodkan jumlah itu merangkumi 2.3 peratus daripada jumlah perjawatan terkumpul, iaitu 8.7 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar jawatan diisi pula ialah 97.7 peratus bagi tempoh itu.

“Bilangan jawatan di sektor swasta meningkat 119,000 kepada 8.7 juta jawatan (berbanding suku keempat 2018, iaitu 8.5 juta).

“Kadar jawatan diisi ialah 97.7 peratus, manakala kadar kekosongan 2.3 peratus dengan bilangan kekosongan direkodkan sebanyak 198,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 104,000 perjawatan baharu juga diwujudkan dalam sektor swasta sepanjang tahun lalu, biarpun dalam suasana ekonomi negara yang mencabar dan tidak menentu.

Katanya, daripada keseluruhan jawatan diwujudkan tahun lalu, 43 peratus membabitkan kategori mahir, sementara kategori separuh mahir pula mewakili 49.2 peratus.

“Pecahan mengikut sektor menunjukkan sebanyak 49.2 peratus pewujudan jawatan baru di sektor perkhidmatan diikuti pembinaan (21.4 peratus) dan 18.4 peratus lagi di sektor pembuatan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, semua kategori mencatatkan peningkatan dengan kategori mahir naik sebanyak 19,000 menjadikan 2.1 juta jawatan, meliputi sumbangan 24.3 peratus daripada jumlah perjawatan terkumpul.

“Jawatan diisi terdiri daripada 97.7 peratus, manakala kadar kekosongan jawatan ialah 2.3 peratus dengan bilangan 48,000,” katanya.

Katanya, jawatan kategori separuh mahir juga merekodkan peningkatan sebanyak 96,000 menjadikan 5.4 juta jawatan, mewakili 62.4 peratus daripada keseluruhan jawatan.

“Kadar jawatan diisi dalam kategori ini ialah 98 peratus, manakala kadar kekosongan pula dua peratus.

“Bagi kategori berkemahiran rendah, jawatan naik 5,000 kepada 1.2 juta jawatan, dengan sumbangan 13.3 peratus. Kadar jawatan diisi ialah 96.4 peratus, manakala kadar kekosongan 3.6 peratus,” katanya.

Bagi sektor ekonomi pula, suku keempat 2019 merekodkan sebanyak 51.6 peratus daripada jawatan tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan (26.4 peratus) dan pembinaan (15.4 peratus).

“Selebihnya di sektor pertanian (5.6 peratus) dan perlombongan & pengkuarian (satu peratus).

Dari segi kekosongan, sebanyak 55.3 peratus di sektor pembuatan.

“Sementara itu, kekosongan di sektor perkhidmatan merangkumi 18.8 peratus. Sektor pertanian berada di kedudukan ketiga dengan sumbangan 14.3 peratus, diikuti pembinaan (11.5 peratus) dan perlombongan & pengkuarian (0.1 peratus).

Berita Harian X