Jumaat, 7 Februari 2020 | 5:31pm

Ekonomi Malaysia 2019 dijangka berkembang 4.5 peratus

KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2019 dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus, lebih rendah daripada unjuran kerajaan pada 4.7 peratus.

Ia bagaimanapun berada di dalam jajaran unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.

Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan KDNK negara untuk suku keempat 2019 berkembang pada kadar 4.2 peratus, jauh lebih rendah berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan bagi suku sama tahun 2018.

Bagi keseluruhan tahun 2019 pula, beliau berkata ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus, kurang 0.1 peratus daripada unjuran pihaknya sebelum ini iaitu 4.6 peratus.

“Pertumbuhan lebih rendah untuk tahun 2019 itu adalah disebabkan oleh faktor dagangan luar yang lebih lemah serta permintaan domestik yang lebih perlahan.

“Selain itu, pelaburan awam yang tidak menggalakkan turut mengheret pertumbuhan perlahan itu yang pada sembilan bulan pertama 2019 mencatat penurunan 12.1 peratus.

Bagaimanapun pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan jumlah bersih RM29 bilion pada sembilan bulan pertama 2019.

“Tetapi, pelaburan langsung domestik (DDI) merekodkan jumlah lebih rendah iaitu RM82.7 bilion pada sembilan bulan pertama 2019, berbanding RM124.2 bilion pada keseluruhan tahun 2018,” katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Menuju ke hadapan, Nor Zahidi berkata, MARC menjangkakan sedikit pemulihan dalam pelaburan berikutan langkah kerajaan meneruskan semula beberapa projek mega.

“Pada pandangan kami, pertumbuhan KDNK pada tahun ini dilihat akan menyederhana sedikit kepada 4.3 peratus susulan pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan,” katanya.

Sementara itu Ketua Penyelidikan Ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Suhaimi Wan Mohd Saidie, berkata beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi suku keempat berkembang pada 4.0 peratus dan keseluruhan tahun 2019 pada 4.5 peratus.

Katanya, unjuran pertumbuhan yang rendah itu disebabkan oleh penurunan jumlah perdagangan pada tahun lalu yang diumumkan baru-baru ini selain impak daripada perang perdagangan.

“Selain itu, pertumbuhan penggunaan juga saya rasakan telah memperlahan sedikit yang akan menyebabkan perkembangan ekonomi turut menjadi perlahan kepada 4.0 peratus.

“Namun, apa yang lebih penting pada saya ialah pertumbuhan untuk suku pertama tahun ini dan juga keseluruhan tahun ini yang mana kerajaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.8 peratus dan saya agak skeptikal mengenainya.

“Kerajaan juga mengatakan mahu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang mungkin mampu menyokong pertumbuhan untuk suku pertama ini, namun saya jangkakan yang kadarnya (KDNK) akan lebih rendah daripada suku keempat tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut Wan Suhaimi berkata, beliau mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada 4.3 peratus.

“Saya fikir kerajaan juga mungkin akan menyemak semula unjuran KDNKnya disebabkan oleh impak coronavirus dan faktor lain,” katanya.

Beliau turut menjangkakan kerajaan berdepan tugas sukar untuk mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus untuk tahun ini berikutan harga minyak mentah dunia yang kini jatuh di bawah paras AS$60 setong.

Jumlah dagangan Malaysia tahun lalu menguncup 2.5 peratus kepada RM1.835 trilion dengan eksport susut 1.7 peratus kepada RM986.4 bilion manakala import berkurangan 3.5 peratus kepada RM849.0 bilion.

Berita Harian X