Rabu, 5 Februari 2020 | 7:19pm
Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa.
Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa.

Hasrat Pakistan sokong permintaan sawit tempatan

KUALA LUMPUR: Minat Pakistan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia dijangka memberi sokongan permintaan terhadap sawit tempatan, namun ia dijangka tidak mencukupi mengimbangi kekurangan eksport komoditi itu ke India.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa, berkata eksport komoditi itu dari Malaysia ke Pakistan pada Januari 2020 meningkat sebanyak 50 peratus kepada 141,500 tan berbanding jumlah purata bulanan 90,460 tan.

Beliau berkata, jika Pakistan mengekalkan kadar belian pada paras semasa untuk mengimbangi eksport ke India, maka ia berjumlah 1.680 juta tan untuk 12 bulan, yang mana kurang separuh juta tan berbanding jumlah eksport olein sawit ditapis Malaysia ke India.

Katanya, Malaysia mengeksport 2.156 juta tan olein sawit ditapis ke India.

“Dengan Pakistan mempunyai jumlah penduduk 200 juta orang, yang mana lebih rendah berbanding India yang mempunyai penduduk berjumlah 1.33 bilion, maka terdapat kekurangan permintaan untuk menyerap kehilangan 2.156 juta tan olein sawit ditapis ke India,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai minat yang ditunjukkan Pakistan itu.

Sathia berkata, adalah samar untuk memastikan eksport minyak sawit ke Pakistan mampu mengimbangi jumlah keseluruhan eksport minyak sawit ke India kerana skala adalah terlalu luas dari segi keperluan minyak boleh dimakan tahunan dan saiz pasaran.

Beliau berkata, Indonesia menguasai 80 peratus pasaran eksport minyak sawit di Pakistan dan baki 20 peratus oleh Malaysia kerana produk sawit Indonesia secara umumnya lebih murah.

Lagipun, katanya, Pakistan mengimport minyak sawit ditapis kira-kira 87 peratus.

“Penggunaan minyak boleh dimakan tahunan Pakistan ialah 4.50 juta tan, manakala penggunaan tahunan minyak boleh dimakan India pula adalah 24 juta tan.

“Malaysia boleh menjual lebih banyak kepada Pakistan sekiranya Malaysia dan Pakistan memeterai perjanjian tarif keutamaan khas atau jika Pakistan secara agresif membangunkan pasaran eksport semula untuk pasaran serantau,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata Pakistan melahirkan minat untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia yang mana minat itu disampaikan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan kepadanya dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini.

Kontrak minyak sawit mentah (MSM) ditutup tinggi hari ini dengan kontrak semasa, April 2020 berada pada RM2,806 satu tan.

Berita Harian X