Khamis, 30 Januari 2020 | 5:38pm
Menteri Industri Utama Teresa Kok bergambar bersama pekebun-pekebun kecil pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya Kota Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Industri Utama Teresa Kok bergambar bersama pekebun-pekebun kecil pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya Kota Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia bentang hala tuju sawit di Eropah minggu depan

KOTA TINGGI: Satu pembentangan mengenai hala tuju industri sawit Malaysia bakal diadakan di beberapa negara Eropah pada minggu depan dalam usaha kerajaan menangani kempen anti-sawit yang meluas di benua itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata dalam siri lawatan itu, beliau akan menerangkan lebih lanjut mengenai empat dasar industri sawit negara kepada wakil kerajaan di sana.

Menurutnya, lawatan selama seminggu bermula minggu depan itu membabitkan United Kingdom, Sepanyol, Belanda dan Belgium.

“Saya juga akan menyampaikan pendirian Malaysia yang amat menitikberatkan usaha penjagaan alam sekitar seperti menanam semula pokok jenis hutan dan penjagaan haiwan liar.

“Saya juga akan menyatakan bahawa pengusaha sawit Malaysia sangat prihatin terhadap alam sekitar termasuk penjagaan binatang liar,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanaman Sawit Johor di Dewan Serbaguna, Taman Kota Jaya, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, empat dasar hala tuju baharu yang akan dibentangkan termasuk menghadkan keluasan penanaman kelapa sawit seluruh negara dengan penetapan sasaran 6.5 juta hektar dan juga larangan penanaman baharu kelapa sawit di atas kawasan baharu tanah gambut.

“Selain itu, larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dan yang terakhir adalah penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit untuk capaian umum,” kata Kok.

Menyentuh mengenai MSPO, beliau berkata sehingga hari ini, sebanyak 64.1 peratus daripada 5.85 juta hektar keseluruhan tanaman sawit di negara ini telah menerima pensijilan MSPO.

Daripada seluas 3.74 juta hektar tanah yang menerima pensijilan itu, 3.04 juta hektar merupakan kawasan estet, sejumlah 505,382 hektar adalah kawasan pekebun kecil tersusun dan 98,637 hektar bagi pekebun kecil persendirian (PKP).

“Jumlah peratusan di kalangan pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia yang menerima pensijilan MSPO masih rendah iaitu hanya 10.1 peratus sahaja.

“Jika pekebun kecil tidak mendapat pensijilan MSPO ini, mereka akan rugi pada masa hadapan jadi menerusi dialog hari ini, saya berharap segala maklumat dapat disampaikan kepada kesemua pekebun kecil dan diharapkan mereka segera mendapatkan pensijilan ini,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X