Khamis, 23 Januari 2020 | 3:30pm
Beberapa kes coronavirus dikesan di pusat populasi utama lain, termasuk Beijing dan Shanghai, selain luar negara, sehingga meningkatkan permintaan topeng muka dan ubat selesema. - Foto Reuters
Beberapa kes coronavirus dikesan di pusat populasi utama lain, termasuk Beijing dan Shanghai, selain luar negara, sehingga meningkatkan permintaan topeng muka dan ubat selesema. - Foto Reuters

Firma China bantu usaha banteras coronavirus

SHANGHAI: Beberapa syarikat senaraian awam China, terdiri daripada firma bioteknologi, pengeluar ubat, topeng dan termometer, mengumumkan usaha untuk membanteras wabak coronavirus.

Virus baharu itu, yang mula dikesan di Wuhan, sudah membunuh 17 pesakit dan menjangkiti hampir 600 orang.

Beberapa kes dikesan di pusat populasi utama lain, termasuk Beijing dan Shanghai, selain luar negara, sehingga meningkatkan permintaan topeng muka dan ubat selesema.

Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan langkah pencegahan menyeluruh dan usaha kawalan bagi membanteras virus baharu itu, dan menggesa kerajaan di semua peringkat menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

Tianjin TEDA Co dalam kenyataannya di bursa berkata, anak syarikatnya, TEDA Filters, meningkatkan pengeluaran bahan penapis yang digunakan dalam topeng muka bagi memenuhi lonjakan permintaan.

Firma bioteknologi, Xilong Scientific Co, pula berkata ia membangunkan peralatan diagnostik bagi virus baharu itu dan akan menghantar produk ke pusat kawalan penyakit di beberapa wilayah China.

Wuhan Guide Infrared Co memberitahu pegawai China Securities Journal syarikat itu menderma empat juta yuan peralatan termometer inframerah kepada kerajaan Hubei, wilayah di mana Wuhan terletak.

Saham TEDA, Xilong Scientific dan Guide Infrared masing-masing melonjak 40 peratus, 24 peratus dan sembilan peratus minggu ini.

Indeks CSI300 susut hampir empat peratus dalam tempoh sama.

Firma lain, termasuk BGI Genomics Co, Guangzhou Improve Medical Instruments Co dan Guangdong Zhongsheng Pharmaceutical Co turut mengumumkan usaha masing-masing untuk membanteras virus berkenaan.

Platform e-dagang seperti Taobao, JD.com, Pinduoduo Inc dan Suning.com, pula mengumumkan untuk menghalang kenaikan harga produk untuk mengelak virus itu ketika permintaan melonjak. - Reuters

Berita Harian X