Rabu, 22 Januari 2020 | 5:30pm

Grab, AirAsia antara syarikat mohon lesen bank digital

SINGAPURA/KUALA LUMPUR: Grab, Razer, AirAsia, Axiata dan CIMB adalah antara syarikat yang memohon lesen perbankan digital di Malaysia, kata sumber kepada Reuters.

Beberapa syarikat ini sudah memulakan rundingan dengan penasihat bagi menerokan kemungkinan menceburi perbankan digital, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Di Asia, pengawal selia mula membuka pintu kepada peserta digital baharu, yang mendapat rangsangan daripada peningkatan sambungan mudah alih dan prospek firma teknologi menawarkan perkhidmatan kewangan kos rendah kerana tidak terganggu oleh keperluan membuka cawangan fizikal.

Singapura bulan ini menerima 21 permohonan bagi lima lesen bank digital.

Bulan lalu, bank pusat Malaysia mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan sehingga lima lesen kepada bank dalam talian baharu menawarkan sama ada produk perbankan konvensional atau Islam di bawah rangka kerja pelesenan yang akan dimuktamadkan akhir Jun ini.

Malaysia mengutamakan pembida yang ekuitinya dikawal oleh syarikat tempatan.

Sumber berkata, Razer sedang berunding dengan sebuah konglomerat tempatan untuk memperoleh lesen bank digital di Malaysia.

Bank tempatan seperti Hong Leong Bank dan Maybank juga menimbang untuk membida lesen berkenaan, kata individu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Razer Fintech, Lee Li Meng memberitahu Reuters syarikat itu mempunyai operasi meluas di Malaysia dalam sektor pembayaran digital dan akan menilai peliang perbankan digital.

Pilihan bagi Axiata pula adalah memohon melalui Axiata Digital Services, yang menempatkan semua unit digital kumpulan dan memiliki e-dompet Boost.

BigPay, unit perkhidmatan kewangan AirAsia, mengendalikan e-dompet yang didatangkan dengan kad prabayar.

Perkhidmatan e-dompet Ant Financial dan Touch n' Go adalah yang terbesar di Malaysia dengan 6.9 juta pengguna berdaftar.

CIMB, yang memiliki kepentingan majoriti dalam Touch n' Go, meneroka peluang membida lesen itu, kata sumber.

Axiata Digital berkata, ia sudah menyatakan minat terhadap perbankan digital.

Grab, AirAsia dan Maybank enggan mengulas. CIMB tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan Reuters, manakala Ant Financial berkata adalah terlalu awal untuk mengeluarkan kenyataan.

Di bawah draf cadangan, bank digital perlu menawarkan produk dan perkhidmatan bagi mengisi jurang dalam segmen ‘kurang diberikan perkhidmatan’ dan mengekalkan modal awal RM100 juta sebelum meningkatkannya kepada RM300 juta.

-Reuters

Berita Harian X