Selasa, 21 Januari 2020 | 1:52pm
Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Azhar Ramli
Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Azhar Ramli

Kementerian Pembangunan Usahawan akan dijenama semula

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sedang dalam proses penjenamaan semula dengan bercadang untuk memasukkan perkataan koperasi.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata cadangan penjenamaan itu akan dibentangkan di mesyuarat kabinet esok untuk mendapatkan kelulusan.

Katanya, jika jemaah menteri menyokong cadangan itu, maka penjenamaan itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan MED akan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Proses penjenamaan ini adalah penting kerana kita mendapat maklum balas daripada warga koperasi, yang hari ini saya sendiri menyarankan kepada mereka supaya menjadi jentera utama untuk memacu perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Ke Arah Kemakmuran Bersama dan Lima Teras Strategik Institut Koperasi Malaysia (IKM) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat.

Ditanya sama ada penjenamaan semula itu akan membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kementerian, Mohd Redzuan menegaskan tiada kos akan terbabit.

“Hanya tambah sahaja nama di depan, tiada kos akan terbabit,” katanya.

Berkongsi mengenai prestasi semasa koperasi negara, Mohd Redzuan berkata, pada akhir tahun 2019, modal syer koperasi adalah berjumlah RM14.9 bilion dengan jumlah aset bernilai RM142.8 bilion dan penjanaan perolehan sebanyak RM40.3 bilion.

“Dengan kekuatan gerakan koperasi di Malaysia yang telah mencecah angka 14,237 dengan jumlah keanggotaan seramai 6.1 juta, MED sedang mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan dan merasionalisasikan lagi gerakan koperasi supaya lebih bersepadu, menceburi bidang baharu dan mengembangkan aktiviti sedia ada untuk menguasai pasaran lebih luas,” katanya.

Program anjuran IKM itu adalah inisiatif baharu untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada gerakan koperasi di lapangan selain menawarkan latihan dan bimbingan kepada koperasi.

Ia menyasarkan 20 lokasi seluruh negara dan adalah pendekatan baharu MED untuk mendekati kumpulan sasaran dalam mempromosi program latihan dan bimbingan yang ditawarkan agensi MED.

Berita Harian X