Rabu, 15 Januari 2020 | 2:51pm
BNM dijangka mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi tahun ini. - Foto hiasan
BNM dijangka mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi tahun ini. - Foto hiasan

BNM dijangka turunkan lagi kadar faedah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi tahun ini jika tiada kemajuan ditunjukkan dalam ekonomi global selain sektor eksport tidak disokong.

Ketua Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling, berkata pengurangan kadar faedah itu dijangka tidak akan dibuat dalam tempoh terdekat atau pada separuh pertama tahun ini, sebaliknya pada separuh kedua.

Katanya, pihaknya percaya tiada keperluan mendesak buat BNM untuk mengurangkan kadar faedah dalam tempoh terdekat sebaliknya bank pusat itu memilih pendekatan tunggu dan lihat.

“Ini kerana, pada pertengahan tahun ini, kita sepatutnya akan dapat melihat petunjuk yang lebih jelas mengenai kemajuan lebih kukuh dalam prospek ekonomi global dan serantau.

“Jika kita lihat tiada kemajuan dalam ekonomi serantau, maka saya menjangkakan kebanyakan bank pusat termasuk Malaysia akan melakukan pengurangan kadar faedah sekali lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau pada sidang media selepas taklimat tinjauan ekonomi OCBC Bank di sini, hari ini.

BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sejak Mei tahun lalu.

Mengulas mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini, Ling berkata, OCBC Bank mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.2 hingga 4.4 peratus.

Katanya, sasaran KDNK kerajaan pada 4.8 peratus untuk tahun ini pula dilihat mencabar untuk dicapai dan pihaknya kekal berwaspada dengan prospek pertumbuhan Malaysia yang dibayangi khususnya oleh ketidaktentuan luaran.

“Sebenarnya, kami agak sedikit berwaspada. Saya boleh katakan cabaran paling besar untuk kerajaan mencapai sasaran KDNK itu ialah dari faktor luaran seperti pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketegangan geopolitik.

“Kami berpendapat untuk mencapai sasaran 4.8 peratus itu sedikit mencabar kerana ia dibuat dengan mengandaikan yang segala-galanya akan berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi ringgit, Ling berkata, mata wang tempatan itu dijangka mengukuh berbanding dolar AS kepada RM4.04 menjelang akhir tahun ini didorong oleh persekitaran yang menyokong pergerakannya.

“Ringgit akan disokong terutama oleh pegangan asing dalam bon kerajaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang ketika ini berada pada paras 41.6 peratus, tertinggi sejak pertengahan 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Ling berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) dilihat akan menjadi stabil menjelang akhir tahun ini dengan secara purata akan diniagakan di antara RM2,800 hingga RM3,000 satu tan.

“Permintaan terhadap komoditi ini masih menyederhana dan bekalan pula boleh terjejas. Justeru, kami tidak menjangkakan harga komoditi ini akan naik dengan begitu ketara.

“Kami menjangkakan harga tidak berubah memandangkan perbezaan harga di antara minyak sawit berbanding minyak gas dan minyak soya mula merapat,” katanya.

Berita Harian X