Rabu, 15 Januari 2020 | 1:27pm

Kerajaan laksana libat urus dengan pemegang saham PLUS

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan beberapa sesi libat urus dengan pemegang saham PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengurangkan bebanan tol ke atas pengguna lebuh raya, kata Khazanah Nasional Bhd.

Khazanah Nasional Bhd dalam kenyataannya berkata sesi libat urus dengan pemegang saham PLUS itu bermatlamat mengurangkan beban tol pengguna lebuh raya dan tekanan pampasan kerajaan, selain mengambil kira nilai konsesi lebuh raya bagi pemegang kepentingan hutang

dan ekuiti sedia ada.

“Khazanah sedia maklum mengenai beberapa tawaran yang tidak berkaitan, walaupun pihak yang terbabit tidak berbincang secara langsung dengan kami.

“Kami sudah memberikan nasihat dan pandangan kepada kerajaan, di samping berbincang untuk membantu dalam menentukan pertimbangan dasar ke arah mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Khazanah menegaskan, sepanjang proses libat urus itu, kerajaan bertindak secara profesional dan menegakkan prinsip tadbir urus yang sewajarnya bagi mencapai penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.

Terdapat empat pihak yang menunjukkan minat untuk mengambil alih PLUS setakat ini.

Empat pihak berkenaan adalah RRJ Capital, Widad Business Group Sdn Bhd, Maju Holding Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad.

Satu lagi bidaan saat akhir dilaporkan BH dibuat oleh Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPKBP).

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, sebelum ini berkata, Khazanah dan KWSP tidak pernah menawarkan PLUS untuk dijual, malah tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan pada masa ini.

“Apabila merujuk tawaran yang diterima, wujud sedikit kesilapan kerana tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan atau wujud pihak pembida.

“Itu semua adalah tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan berbanding kepada pemegang saham semasa PLUS dan kami tidak terbabit dalam sebarang proses jualan aset berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Forum Integriti 2020 Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), semalam.

Berita Harian X