Ahad, 5 Januari 2020 | 2:51pm

Industri minyak sawit dijangka terus kukuh

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit Malaysia diunjurkan melakar prestasi mengagumkan tahun ini walaupun mengharungi pengeluaran yang mendatar serta kekurangan inventori minyak sayuran global di sebalik permintaan yang kian meningkat terhadap komoditi itu.

Pengarah Eksekutif, Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Tan Sri Yusof Basiron, berkata pengeluaran minyak sawit negara dijangkakan di antara 19.3 juta dengan 19.5 juta tan tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran tahun lalu pada 20 juta tan, sekali gus menjadi petanda baik bagi harga meningkat lebih tinggi.

“Mulai Mac 2020, stok minyak sayuran dunia mungkin berkurangan, menjadikan prospek harga (untuk minyak sawit) adalah kukuh,” katanya.

Tanaman bernilai itu memiliki prospek prestasi cemerlang sepanjang tahun ini, katanya dalam Prospek Bekalan dan Permintaan Minyak Sawit 2020.

Firma penyelidikan turut senada dengan keyakinan Yusof malah mengatakan situasi teruk telah berakhir bagi industri perladangan itu selain menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) berada di antara RM2,600 dengan RM2,700 satu tan tahun ini.

Pada harga berkenaan, komoditi itu masih akan disokong oleh permintaan yang baik dari pasaran utama seperti China dan India.

Penganalisis berharap harga MSM yang lebih tinggi akan mengukuhkan pasaran ekuiti memandangkan banyak syarikat perladangan utama negara turut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa, berkata syarikat-syarikat ini berpotensi untuk melonjakkan indeks Bursa Malaysia.

“Namun kita harus berhati-hati dengan pergerakan ringgit. Ini kerana ringgit yang lebih tinggi menjadikan minyak sawit lebih mahal sekali gus mengurangkan prospek eksport,” katanya.

Yusof pula berkata, dengan aktiviti mengekstrak kacang soya serta import biji sesawi dan minyak biji sesawi oleh China dijangka berkurangan, minyak sawit berpeluang besar untuk memanfaatkan pasaran.

“China muncul sebagai pengimport minyak sawit terbesar pada 2019 dan akan terus berbuat demikian pada 2020 didorong permintaan terhadap produk boleh makan dan oleh industri, malah bersama-sama minyak bunga matahari, minyak sawit juga akan menggantikan minyak kacang soya di China,” katanya.

Perang perdagangan antara Beijing dengan Washington yang berpanjangan turut akan memberi manfaat kepada eksport minyak sawit ke China.

Sathia berkata, walaupun AS-China mempunyai perjanjian secara prinsipnya bagi fasa pertama perjanjian perdagangan, namun hakikatnya perincian berkenaan adalah sukar dan mungkin boleh mencetuskan masalah.

“Tidak mengejutkan sekiranya perjanjian itu gagal. Setakat ini sebarang perjanjian akan bersifat menyokong pasaran kacang soya AS. Ini seterusnya mewujudkan kesan limpahan untuk mendorong harga minyak sawit lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata eksport minyak sawit ke China dijangka mencecah enam juta tan pada 2019 dan tujuh juta tan pada 2020.

Sementara itu, India bersedia mengimport 16.3 juta tan minyak makan bagi tahun pemasaran 2019/2020 yang bermula 1 November 2019 berbanding 15.6 juta tan import pada tahun sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X