Khamis, 2 Januari 2020 | 4:57pm
ANGGOTA polis mengawal bangunan HSBC yang diconteng lukisan graviti di Hong Kong. - Foto Reuters
ANGGOTA polis mengawal bangunan HSBC yang diconteng lukisan graviti di Hong Kong. - Foto Reuters

HSBC mulakan tahun baharu dengan cawangan Hong Kong ditutup, dirosakkan

HONG KONG: HSBC diseret ke dalam pergolakan politik Hong Kong dengan penunjuk perasaan menyerang beberapa cawangan dan menconteng lukisan grafiti yang memaparkan sepasang singa terkenal yang menjaga pusat ibu kotanya.

  

Hong Kong adalah pasaran tunggal terpenting HSBC, menyumbang lebih separuh daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak AS$12.5 bilion (RM51.09 bilion) pada separuh pertama 2019, walaupun berlaku protes yang menyebabkan ekonomi Hong Kong terjerumus ke kemelesetan, yang mana HSBC dan rakan-rakannya dijangka turut menerima kesan kewangan.

  

Sehingga kini, HSBC sebahagian besarnya terlepas dari terbabit secara langsung dalam protes anti-kerajaan yang ganas, yang telah menggegarkan Hong Kong selama lebih enam bulan, walaupun syarikat-syarikat lain yang dilihat ada kaitan dengan Beijing menyaksikan premis mereka dirosakkan, termasuk Bank of China (Hong Kong), bank kedua terbesar di Hong Kong di belakang HSBC.

Namun, baru-baru ini, HSBC telah menimbulkan kemarahan beberapa penunjuk perasaan yang menuduh ia terbabit dalam tindakan oleh pihak berkuasa terhadap aktivis yang berusaha mengumpulkan wang untuk menyokong kempen mereka.

  

Penunjuk perasaan mengaitkan penutupan sebuah akaun yang dipegang oleh sebuah kumpulan yang dipanggil Spark Alliance oleh bank itu pada bulan November, yang membantu membayar kos undang-undang penunjuk perasaan, berikutan penangkapan empat anggota Spark Alliance pada Disember atas tuduhan pengubahan wang haram.

  

HSBC sekeras-kerasnya telah menafikan pembabitannya.

"Orang ramai marah kerana mereka merasakan bahawa HSBC telah berhenti mendapatkan wang untuk penunjuk perasaan," kata seorang penunjuk perasaan pada Rabu, mengenai keputusan untuk menutup akaun itu ketika dia berdiri dalam sebuah kumpulan yang mengambil gambar singa yang rosak.

HSBC dalam satu kenyataan selepas penangkapan itu berkata, keputusan untuk menutup akaun itu "selaras dengan piawaian pengawalseliaan antarabangsa".

"Keputusan kami sama sekali tidak berkaitan dengan penangkapan Polis Hong Kong terhadap empat individu pada 19 Disember 2019. Kami menutup akaun itu pada bulan November 2019 berikutan arahan langsung daripada pelanggan," kata bank itu.

  

Adalah sangat luar biasa bagi HSBC untuk mengulas mengenai kes individu. Dua cawangan HSBC dan tujuh kluster ATM ditutup pada Khamis, hari kerja pertama tahun ini.

  

Sesetengahnya menyaksikan tingkap mereka dipecahkan dan disembur cat "menyokong Spark Alliance" di dinding mereka semasa perarakan anti-kerajaan Hari Tahun Baru. Yang lain telah dirosakkan semasa protes pada malam menjelang Krismas.

Kedua-dua singa itu dihiasi dengan grafiti dan kemudian dibakar selepas disiram dengan cecair mudah terbakar. - Reuters

Berita Harian X