Jumaat, 27 Disember 2019 | 12:51pm
KETUA Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berucap pada majlis pelancaran Laporan Awal Bangi Perdagangan Borong dan Runcit 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berucap pada majlis pelancaran Laporan Awal Bangi Perdagangan Borong dan Runcit 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Sektor borong, runcit catat pertumbuhan pendapatan 8.2 peratus setahun

KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan borong dan runcit kekal sebagai sektor yang berpotensi dengan pendapatan berkembang pada kadar 8.2 peratus setahun.

Sektor berkenaan menjana jumlah pendapatan sebanyak RM1.3217 trilion pada 2018 berbanding RM893.2 bilion pada 2013, demikian mengikut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, menerusi Laporan Awal Bangi Perdagangan Borong dan Runcit 2019 yang diterbitkan pihaknya, jumlah berkenaan adalah bersamaan dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.2 peratus.

Subsektor perdagangan borong muncul sebagai penyumbang tertinggi jumlah pendapatan pada 2018 iaitu RM672.4 bilion diikuti perdagangan runcit (RM494.9 bilion) dan kenderaan bermotor sebanyak RM154.4 bilion.

“Selain itu, laporan awal berkenaan turut merekodkan bilangan pekerja yang terbabit dalam sektor berkenaan adalah seramai dua juta pada 2018 dengan gaji dan upah yang dibayar sebanyak RM62.8 bilion.

“Bilangan pekerja mencatat kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.3 peratus sementara gaji dan upah yang dibayar meningkat 10 peratus,” katanya semasa majlis pelancaran laporan awalan berkenaan di sini, hari ini.

Data untuk laporan awalan itu direkodkan bermula Mac hingga September lalu dan data terperinci hanya akan diumumkan pada Februari ini.

Ia memaparkan statistik awalan seperti bilangan pertubuhan, jumlah pendapatan, jumlah perbelanjaan, jumlah pekerja, gaji dan upah yang dibayar serta harta tetap yang dimiliki.

Laporan awalan ini juga boleh dijadikan pengukur daya saing pemain industri sektor perdagangan borong dan runcit dalam melaksanakan perniagaan di negara ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pada 2018, bilangan pertubuhan yang beroperasi dalam sektor perdagangan borong dan runcit adalah 468,930 berbanding 370,725 pada 2013.

“Selangor terus mendominasi jumlah pertubuhan iaitu sebanyak 94,857, meningkat 6.9 peratus berbanding 2013 diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (71,433) dan Johor (46,530).

“Dari segi pendapatan, Kuala Lumpur menyumbang pendapatan tertinggi sebanyak RM391.6 bilion, diikuti Selangor (RM371.7 bilion) dan Johor sebanyak RM101.1 bilion),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X