Selasa, 24 Disember 2019 | 5:00pm

Malaysia sedia beralih ke 5G tahun depan

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu beralih ke rangkaian 5G tahun depan, dan untuk itu telah melancarkan demonstrasi besar-besaran projek 5G di seluruh negara, menjadikan negara ini sebagai antara yang pertama di Asia memanfaatkan teknologi itu.

Penggiat industri juga selari dengan pendekatan kerajaan yang pragmatik menerusi sokongan padu selain pelaburan - membuktikan komitmen industri ke arah mewujudkan penggunaan yang kukuh dan berdaya maju untuk aplikasi 5G, yang akan mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

September lalu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak mengumumkan bahawa lapan syarikat komited untuk membuat pelaburan awal sebanyak RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Syarikat-syarikat ini terdiri daripada Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan UMobile Sdn Bhd.

Pada 15 Disember pula, SKMM berkata enam syarikat telekomunikasi yang menjalankan projek demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi, mula menunjukkan hasil yang sangat baik dengan 37 kes penggunaan dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan, bandar pintar, pengangkutan pintar dan sektor pelancongan.

Kerajaan memperkukuh lagi aspirasinya untuk mengembangkan ekosistem digital Malaysia dengan memperkenal geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta menerusi Belanjawan 2020 untuk menggalakkan inovasi teknologi di negara ini.

Geran itu akan memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menceburi pembangunan 5G, meneruskan inovasi serta mecetuskan permintaan dari seluruh negara.

Selain itu, kerajaan secara rasminya melancarkan Pelan Penyambungan Fiber Nasional (NFCP) lima tahun pada 19 September yang bermatlamat untuk meningkatkan kualiti Internet dan menyediakan sambungan mampu milik kepada pengguna luar bandar.

NFCP bermatlamat merapatkan jurang digital luar bandar, memandangkan penyedia perkhidmatan sedia ada secara umumnya enggan melabur dalam infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar, kerana kos yang tinggi disebabkan cabaran seperti kawasan yang tidak teratur dan penempatan yang berselerak.

Oleh itu, SKMM mewujudkan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan menyediakan akses secara kolektif dan individu kepada perkhidmatan telefoni asas dan Internet di seluruh negara.

USP bertindak sebagai mekanisme untuk menyalurkan pelaburan sektor swasta ke kawasan luar bandar yang tidak menguntungkan, dan inisiatif ini hanya dapat dilaksanakan di kawasan yang kurang mendapat perhatian dan kumpulan di kawasan terpencil.

Menurut Maybank IB Research, penugasan 5G sedang berjalan mengikut pelan, dengan butiran mengenai kelulusan spektrum dan model penggunaan dijangka diumumkan pada Januari 2020.

“Pengawal selia mengekalkan sasarannya bahawa 5G akan digunakan mulai separuh kedua tahun depan yang bermakna risiko perbelanjaan modal 5G akan mula dilihat pada 2020, bukannya 2021.

“Kami menjangkakan risiko secara relatifnya boleh diurus, memandangkan kemungkinan akan ada peningkatan dalam perkongsian infrastruktur,” katanya.

Celcom Axiata Bhd dan Maxis Bhd menandatangani memorandum persefahaman untuk meneroka potensi perkongsian yang memberi tumpuan kepada penggunaan bersama infrastruktur 5G di kawasan terpilih.

-BERNAMA

Berita Harian X