Jumaat, 20 Disember 2019 | 12:55pm
Bekas Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yang juga Pengerusi e-Dagang Malaysia, Ganesh Kumar Bangah (lima dari kiri) dengan pemenang semasa Pengumuman Pemenang Cabutan #MYVYBERSALE ASIA 2019 di Empire Damansara. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Bekas Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) yang juga Pengerusi e-Dagang Malaysia, Ganesh Kumar Bangah (lima dari kiri) dengan pemenang semasa Pengumuman Pemenang Cabutan #MYVYBERSALE ASIA 2019 di Empire Damansara. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Industri e-dagang dijangka berkembang 30 peratus tahun depan

PETALING JAYA: Industri e-dagang tempatan dijangka berkembang sehingga 30 peratus tahun depan disokong akses lebih meluas dan pelbagai rakyat Malaysia kepada platform pembelian secara maya.

Bekas Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Ganesh Kumar Bangah, berkata jangkaan pertumbuhan industri yang positif itu turut dipacu langkah kerajaan meningkatkan kemampuan jalur lebar negara merentasi ke kawasan lebih terpencil.

Beliau yang juga Pengerusi e-Dagang Malaysia berkata, kemudahan yang kini boleh diakses termasuk di kawasan pedalaman juga menyediakan peluang dan platform kepada kebanyakan rakyat Malaysia untuk berbelanja secara digital dan membolehkan industri e-dagang berkembang dengan pesat.

Katanya, pelbagai kemudahan terutama dalam pengenalan aplikasi e-dompet oleh pengendali platform e-dagang juga menjadikan dimensi untuk berbelanja berubah kepada tanpa tunai yang lebih selamat dan lancar.

“Tahun ini, industri e-dagang negara melonjak dengan pantas dengan pertumbuhan sekitar 35 peratus berbanding tahun lalu. Akses internet yang lebih baik membolehkan pelanggan di kawasan pedalaman juga menikmati kemudahan pembelian di dalam talian.

“Keupayaan logistik yang lebih baik juga akan mendorong industri ini untuk mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman pemenang kempen FPX #MYCYBERSALE Asia 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PIKOM yang baharu, Danny Lee.

Pada 2018, pendapatan industri e-dagang mencecah RM115 bilion yang disumbangkan oleh lebih 20 juta pembeli dalam talian, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) berjumlah 11 peratus.

Jumlah eksport nilai barangan kasar (GMV) juga tumbuh 38 peratus di mana ia disumbangkan daripada kategori pelancongan, fesyen dan hiburan dari 35 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Ganesh berkata, Kempen FPX #MYCYBERSALE Asia 2019 merekodkan GMV bernilai RM392 juta, rekod tertinggi sejak kempen itu mula diperkenalkan pada tahun 2014.

“Rekod nilai transaksi perbankan dalam talian juga mencapai angka yang positif iaitu RM2.8 bilion sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia kini dalam peralihan ke arah pembelian tanpa tunai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun ini, PIKOM akan memberi tumpuan kepada transaksi perbankan dalam talian menerusi rakan niaganya, FPX bagi meneruskan momentum selepas berjaya membuktikan pencapaian positif yang diraih pada tahun ini.

“Nilai jualan perbankan internet yang dicatatkan menerusi FPX #MYCYBERSALE Asia 2019 menjadi pemangkin kepada pencapaian industri e-dagang Malaysia,” katanya.

Berita Harian X