Selasa, 17 Disember 2019 | 5:45pm

MIDA jangka lebih banyak pelaburan teknologi diterima

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangka lebih banyak pelaburan berkaitan teknologi akan diterima di negara ini menjelang tahun depan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, sehingga September lalu, MIDA sudah meluluskan 374 projek berkaitan teknologi hijau dengan nilai RM2.86 bilion.

“Pelaburan berkenaan dijangka mencipta 750 peluang pekerjaan di seluruh negara membabitkan sektor penjanaan tenaga, pemuliharaan tenaga, bangunan hijau dan pengurusan sisa buangan.

“Malah, sehingga November lalu, kami juga telah menerima 10 permohonan berkaitan sektor hijau dengan nilai pelaburan sebanyak RM76.2 juta.

“Justeru, MIDA menjangkakan lebih banyak permohonan akan diterima menjelang 2020 terutama disokong menerusi penganjuran Pameran Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2020),” katanya di sesi taklimat media mengenai penganjuran IGEM 2020 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, GreenTech Malaysia, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Sementara itu, IGEM 2020 yang bakal berlangsung bermula 7 hingga 9 Oktober depan dijangka menjana nilai perniagaan sebanyak RM3.4 bilion.

Pameran dengan tema ‘Energising Sustainability’ itu akan membabitkan 420 penganjur dan 42,000 pengunjung dari 42 negara.

Selama sedekad penganjurannya, IGEM telah menjana lebih kurang RM30 bilion nilai potensi perniagaan.

Daripada jumlah itu, RM5.98 bilion disumbangkan daripada IGEM 2019 yang menyediakan RM5.8 bilion potensi pelaburan daripada 82 projek yang direkodkan MIDA.

Sementara itu, Shamsul Bahar berkata, GreenTech Malaysia akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam memacu agenda hijau dan pembangunan mampan negara ini, yang pastinya akan tercermin dalam semua inisiatif yang membawa kepada IGEM 2020.

“Penganjuran bersama IGEM ini telah memasuki tahun ke-11 dan bertujuan mengumpulkan pemain utama dalam teknologi hijau dari seluruh dunia,” katanya.

Berita Harian X