Selasa, 17 Disember 2019 | 11:24am
Gambar fail, Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, Thailand.
Gambar fail, Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, Thailand.

RCEP catat kemajuan walaupun berhadapan rintangan

KUALA LUMPUR: Sudah hampir dua tahun konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan China mendominasi senario perdagangan, sekali gus menjejaskan rantaian nilai global, mencetuskan ketidaktentuan ekonomi serta pasaran kewangan, termasuk Malaysia.

Pada 2019, dengan masing-masing berbalas tarif ke atas barangan bernilai berbilion dolar, pertikaian antara kedua-dua ekonomi terbesar itu memuncak apabila AS mendakwa syarikat teknologi terkemuka China, Huawei, mengintip, dan mengambil keputusan mengharamkan teknologi syarikat berkenaan.

Malaysia, bagaimanapun mengambil pendirian untuk terus menggunakan teknologi Huawei.

Walaupun kedua-dua negara saling mengambil langkah untuk mengurangkan ketegangan perdagangan bagi memperoleh hasil positif serta mengendurkan situasi antara Washington dan Beijing, namun penyelesaian mutlak belum menampakkan kejayaan sehingga ini.

Perlindungan melampau tidak baik untuk perdagangan, sama ada menerusi tarif atau halangan bukan tarif (NTB).

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, di peringkat global, indeks ketidaktentuan dasar perdagangan meningkat dengan ketara, setelah stabil pada tahap rendah selama 20 tahun, sebelum pertikaian perdagangan AS-China meletus.

"Berdasarkan anggaran kami, peningkatan ketidaktentuan perdagangan yang dipantau pada suku pertama 2019, sudah mencukupi untuk mengurangkan pertumbuhan global sehingga 0.75 mata peratusan pada 2019," katanya.

Lebih dekat dengan Malaysia, usaha untuk menghapuskan NTB terus menjadi cabaran utama di peringkat ASEAN, blok 10 negara anggota yang mempunyai 650 juta penduduk.

Kajian Asian Trade Centre bertajuk ‘Halangan Bukan Tarif di ASEAN dan penghapusannya dari perspektif perniagaan’ menyebut bahawa kegagalan untuk menangani secara berkesan peningkatan isu-isu perdagangan yang tidak adil, sukar dan mahal, menjejaskan kemajuan ke arah memenuhi matlamat dan objektif Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

Di ASEAN, terdapat sejumlah 6,000 NTB, yang menjejaskan industri secara menyeluruh.

Untuk ASEAN mewujudkan ekonomi yang bersepadu dan bersatu, ia perlu menangani isu ‘unilateral’ yang memerlukan komitmen dan penyertaan bersama anggota ASEAN.

Pendirian itu diperlukan apabila ASEAN berurusan dengan ekonomi besar lain di peringkat global.

“Jika anda mahu didengari, anda mestilah sangat berkuasa, kuat atau sangat kaya, jika tidak, tiada siapa yang ambil peduli. Jika kita berfungsi dan bersepakat sebagai sebuah organisasi serantau, seperti ASEAN, maka kita mempunyai lebih ramai tokoh untuk menyuarakan kepentingan yang akan memihak kepada kita dalam forum, dan kita boleh menghadiri semua mesyuarat dan menyatakan pendapat kita.

"Namun, jika anda pergi bersendirian, jika Thailand berjuang bersendirian, ia tidak sekukuh 10 negara ASEAN," kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sesi dialog pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, Thailand.

Selain ASEAN dan beberapa perjanjian perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi, Malaysia juga terbabit dalam dua perjanjian perdagangan mega yang dapat mengubah wajah perdagangan dunia pada masa depan iaitu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

CPTPP adalah perjanjian perdagangan antara Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, dengan 11 negara tersebut menyumbang 13.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Malaysia akan membuat keputusan muktamad sama ada meratifikasi CPTPP atau sebaliknya.

Sehingga kini, lapan daripada 11 negara telah meratifikasikan CPTPP iaitu Mexico, Jepun, Singapura, New Zealand, Kanada, Australia, Vietnam dan Chile.

Julai lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming berkata, lebih banyak masa diperlukan untuk menilai klausa CPTPP memandangkan ia adalah perjanjian yang kompleks dan komprehensif.

"Komitmen yang dipersetujui di bawah CPTPP memberi impak yang ketara ke atas beberapa undang-undang, dasar dan peraturan semasa, termasuk yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap Perjanjian Perdagangan Bebas yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia menekankan kepada perdagangan bebas dan adil, selaras aspirasi kerajaan dalam melaksanakan dasar pembangunan nasional untuk manfaat ekonomi yang boleh diagihkan kepada kumpulan sasaran."

Bagi RCEP, perjanjian perdagangan pelbagai hala yang mencakupi satu pertiga daripada KDNK dunia itu juga mencatat kemajuan kecuali India yang belum sedia menyertainya.

RCEP pada asalnya merupakan pakatan 16 negara semasa diperkenal pada 2012.

Kesemua 10 anggota ASEAN dan lima rakan dagang utamanya - Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan - bersedia memeterai perjanjian itu pada 2020.

India menarik diri pada saat-saat akhir kerana New Delhi bimbang potensi kejutan ekonomi ke atas negaranya.

Ahli ekonomi IHS Markit, Asia Pasifik, Rajiv Biswas, berkata parti politik dan kelompok industri bimbang, khususnya impak menghapuskan halangan tarif untuk perdagangan dengan China, kerana tidak seperti ASEAN, India tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan Beijing.

"India bimbang banyak sektor industri dalam negeri tidak dapat bersaing dengan berkesan dengan pengilang China," katanya.

Sebagai negara perdagangan 18 terbesar, perjanjian perdagangan dan akses ke lebih banyak pasaran penting untuk pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi Malaysia, Justeru, kemajuan dalam RCEP merupakan rangsangan utama walaupun banyak perlindungan yang meluas, sama ada menerusi tindakan tarif atau halangan bukan tarif. - BERNAMA

Berita Harian X