Khamis, 12 Disember 2019 | 6:43pm
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhun Tuanku Munawir (tengah) merasmikan Pameran bertajuk 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (kiri). - Foto Aswadi Alias
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhun Tuanku Munawir (tengah) merasmikan Pameran bertajuk 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (kiri). - Foto Aswadi Alias

BNM terus pegang mandat lindungi sistem kewangan negara

KUALA LUMPUR: Akta Bank Negara Malaysia penting bagi memelihara kestabilan monetari dan kewangan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata peranan BNM sebagai bank pusat yang bebas dan profesional seperti yang diperuntukan dalam akta berkenaan juga membolehkannya memberi tumpuan kepada perspektif ekonomi dan sistem kewangan untuk jangka panjang.

“Biarpun berdepan dengan persekitaran global yang semakin mencabar serta turun naik dalam pasaran antarabangsa, BNM sebagai pelindung dan pemegang amanah sistem kewangan negara akan terus memegang mandat itu dan menjadikannya sebagai keutamaan.

“BNM akan memastikan langkah-langkah yang diambil seiring dengan peredaran masa untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, penuh integriti dan profesional untuk kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pameran baharu Pameran bertajuk 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhun Tuanku Munawir.

Pameran anjuran pihak Muzium dan Galeri Seni BNM itu dibuka mulai 16 Disember hingga 30 Jun 2020 dan masuk adalah percuma.

Pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 100 bahan pameran berusia seawal 80 tahun lalu, termasuk pelbagai artifak, filem dan foto-foto nostalgia menarik yang belum pernah dipamerkan sebelum ini.

Pameran ini turut mengimbau saat genting negara menempuhi badai krisis pengambil deposit 1985 dan krisis kewangan Asia 1998 dan bagaimana Malaysia merancang usaha pemulihan sendiri yang disifatkan radikal.

Selain itu, ia juga dimeriahkan dengan pameran seni baharu bertajuk 60 Koleksi Bank Negara Malaysia yang mengetengahkan 60 hasil karya seni tempatan membabitkan empat genre utama karya seni koleksi BNM iaitu figuratif, landskap, alam bina dan abstrak.

Berita Harian X